Di mana Zulkifli?

Kenderaan mangsa yang ditinggalkan di bahu jalan. - Foto PDRM
Kenderaan mangsa yang ditinggalkan di bahu jalan. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki berusia 59 tahun yang dilaporkan hilang di dalam hutan jalan Kampung Batu Putih-Ketengah Jaya, Kemaman.

Kehilangan Zulkifli Mohd Hussin yang tinggal di Setiu itu dilaporkan oleh anaknya apabila mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar rumah pada 20 November lalu untuk berjumpa rakannya di Kerteh, Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan laporan yang dibuat, anaknya ada menghubungi mangsa pada 22 November dan lelaki itu beritahu akan pulang ke rumah.

"Anaknya tunggu tapi mangsa tidak pulang. Keesokan harinya, anaknya hubungi mangsa namun tidak dapat.

"Pada 25 November, kawan mangsa beritahu pengadu dia ada jumpa kenderaan Nissan Grand Livina warna putih mangsa di Jalan Batu Putih-Rasau dalam keadaan berkunci.

"Anak mangsa pergi ke lokasi namun tidak menemui bapanya lalu pulang ke Penarik dan membuat laporan polis,” katanya hari ini.

Menurut Hanyan, susulan laporan dibuat oleh pengadu, polis telah melakukan siasatan dan mendapati mangsa pergi ke sebuah pondok di jalan Kampung Batu Putih-Ketengah Jaya untuk menemui lelaki dikenali sebagai Pok Harun.

Beliau berkata, mangsa datang ke pondok itu untuk menumpang mandi dan semasa Pok Harun ingin tidur, mangsa memaklumkan ingin mengambil kain pelekat dalam kenderaan miliknya yang ditinggalkan di bahu jalan.

Artikel Berkaitan:

“Kemudian, Pok Harun mendengar bunyi salakan anjing yang kuat dan ketika menjenguk ke hadapan jalan, terdapat sebuah kereta lain berada dengan kereta mangsa. Mangsa sempat minta Pok Harun tidak beritahu sesiapa jika ada yang bertanya tentang dirinya.

“Mangsa kemudian melarikan diri ke arah hutan bahagian belakang pondok milik saksi,” katanya.

Polis kini melancarkan gerakan mencari dan menyelamat bersama pasukan Bomba dan Penyelamat dan dibantu orang awam bagi mengesan mangsa.

“Setakat ini kita menemui sebuah telefon bimbit dan anaknya mengesahkan ia milik mangsa," katanya.