Rumah jadi sarang jual, hisap dadah diserbu

Dadah dirampas dalam serbuan itu.
Dadah dirampas dalam serbuan itu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Sebuah rumah di Taman Kota Jaya di sini yang dijadikan 'port' tempat menjual dan menghisap dadah diserbu petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, bertindak atas maklumat kira-kira jam 5.05 petang, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah membuat serbuan tersebut.

Menurutnya, pihak polis menahan tiga lelaki lingkungan umur antara 20 hingga 32 tahun dalam serbuan itu.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut yang dijadikan tempat menjual dan menghisap dadah telah menjumpai sembilan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu berat kasar 263.98 gram.

"Turut dijumpai enam peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin berat kasar 283 gram dan satu alat penimbang digital. Turut dirampas sebuah kenderaan Honda CRV,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, harga bagi bekalan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM19,850 bagi kegunaan anggaran 500 orang penagih di kawasan tersebut.

Jelasnya, dalam ujian saringan awal air kencing pihak polis telah mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah mulai 07 hingga 13 Januari selama tujuh hari bagi tujuan siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Semakan rekod kesalahan lampau mendapati semua suspek mempunyai rekod melibatkan kes dadah dan kes jenayah," katanya lagi.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.