X

Kindly register in order to view this article
!

Pastikan individu hina bendera terima hukuman setimpal

Muhammad Faisal
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menyokong siasatan polis ke atas insiden kesilapan memaparkan Jalur Gemilang, menggesa kerajaan meminda kanun keseksaan bagi memuatkan kesalahan menghina bendera kebangsaan.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan itu perlu supaya individu bersikap biadab yang datang daripada pelbagai kelompok ini dapat dikenakan hukuman setimpal.

Menurutnya, Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara dan tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 jika seseorang didapati melakukan kesalahan seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang tersebut kerana ia memberi pelbagai persepsi buruk dalam kalangan masyarakat.

“Hal ini adalah selari dengan kerangka tuntutan agama, di mana unsur patriotisme seperti mempertahankan kedaulatan negara turut ditekankan dalam Islam.

“Nabi Muhammad SAW sendiri diriwayatkan mempunyai kasih sayang yang cukup tinggi terhadap Tanah Suci Makkah sebagai tempat kelahirannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis panggil penganjur bantu siasatan kes bendera bintang lima

'Mustahil tak peka bendera Malaysia, bukan duduk sehari dua' - Netizen

Bendera Malaysia bintang lima: MABA mohon maaf

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, bagi mengelakkan insiden ‘kelalaian’ yang sama berlaku berulang kali, ABIM menggesa pihak berkuasa untuk menggubal atau meminda undang-undang yang lebih ketat dan khusus sebagaimana Akta Lagu Kebangsaan 1968, di mana mereka yang tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku boleh ditahan mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Ini kerana katanya, bendera sesebuah negara mempunyai nilai kedaulatan, lambang maruah dan jati diri.

“Kerana itu, pemerkasaan cintakan negara perlu dipupuk dari peringkat sekolah melalui reformasi pendidikan Malaysia yang bakal dibentangkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara bagi menekankan Pendidikan Karakter, Pendidikan Damai dan Pendidikan Kewarganegaraan sebagai teras melahirkan masyarakat terdidik, cinta negara dan beradab mulia serta ditegaskan dalam semua jenis persekolahan di Malaysia.

“Sesungguhnya, cintakan negara bererti membina kesatuannya bukan meruntuhkan keharmoniannya. Kibarkan Jalur Gemilang dan berpadulah atas nama Malaysia,” katanya.

Kelmarin, video berdurasi 1 minit 42 saat itu tular di media sosial.

Netizen mengecam tindakan penganjur dan mendesak MABA dikenakan tindakan sewajarnya kerana tidak peka dengan sensitiviti.

Polis Kuala Lumpur semalam sudah memanggil penganjur Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) bagi membantu siasatan berhubung kesilapan memaparkan Jalur Gemilang dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28, kelmarin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus