Kawal nafsu makan, jom ubah gaya hidup

No Image Caption
A
A
A

TERKEJUT Merak Jalanan membaca salah satu tajuk berita yang disiarkan semalam. Ia memaparkan tentang kejuaraan.

Memang manis dan teruja jika tajuk berita itu menggambarkan sesuatu kejayaan yang diraih. Tetapi apa yang dibaca itu membuatkan Merak Jalanan hilang selera nak jamah kek kegemaran.

Tajuk 'Kedah juara kencing manis' benar-benar membuatkan Merak Jalanan pelik bercampur hairan. Sebelum ini kita biasa dengar orang Kelantan adalah penggemar makanan manis-manis. Adakah wartawan salah tulis?

Selepas membacanya, berita itu memang betul dan sahih sebab didedahkan sendiri oleh Exco Kesihatan Negeri Kedah sendiri. Kedah menjuarai carta paling tinggi penghidap kencing manis di Malaysia!

Tiba-tiba terasa ngeri pula. Bukan soal negeri yang menjadi isu, tetapi soal gaya hidup yang sepatutnya diambil perhatian.

Sedar tak sedar, kek blueberry di depan mata habis juga. Takkan kerana berita yang berlaku di Kedah itu maka Merak Jalanan yang tinggal di Kuala Lumpur kena ketepikan sepotong kek berharga RM9.90. Membazir pula.

Bila menyebut tentang manis dan penyakit kencing manis, Merak Jalanan sebenarnya bukanlah penggemar makanan atau minuman yang manis-manis.

Boleh dikatakan pengambilan gula Merak Jalanan masih dalam kawalan dan sangat minimum. Barangkali pembaca di luar sana juga tahu dan bijak kawal pemakanan.

Artikel Berkaitan:

Persoalannya, cukupkah dengan hanya mengawal gula tetapi garam dan pengambilan makanan berlemak atau berminyak tidak boleh tinggal? Stres biasanya membuatkan nafsu makan kita datang membuak-buak.

Adakala pada waktu malam pengambilan makanan lebih daripada biasa. Itu biasa berlaku pada Merak Jalanan sendiri.

Bila badan dah mula rasa ‘berat’ barulah sibuk kawal nafsu makan. Bukan apa, dengan ketinggian yang tak seberapa ini, bimbang juga digelar ‘gempen’ (gemuk + pendek).

Terlanjur bercerita bab pemakanan ini, Merak Jalanan harap rakan-rakan yang sentiasa berselera tengok makanan cepat-cepatlah beralih mata.

Corak pemakanan bukan kerana bentuk badan semata-mata, tetapi kita patut rasa sayang dan cintakan kesihatan lebih daripada segala-galanya.