Dr Maszlee dan sinar pendidikan

Gambar hiasan. Gambar kecil: Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim
Gambar hiasan. Gambar kecil: Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim
A
A
A

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini ada menyatakan hasrat beliau untuk melakukan rombakan menteri Kabinet.

Perubahan dalam kepimpinan adalah perkara yang sememangnya akan berlaku, namun pada pandangan saya perkara utama mendorong Perdana Menteri menjalankan perubahan drastik itu adalah untuk memberikan motivasi kepada barisan kepimpinan supaya lebih agresif dalam memainkan peranan masing-masing.

Saya lebih tertarik untuk membicarakan kementerian yang saya sendiri berada di bawahnya iaitu Kementerian Pendidikan (KPM). Kami mempunyai seorang menteri yang boleh dikatakan agak muda, Dr Maszlee Malik.

Sejak dari awal pelantikan beliau sudah mula ada cerita. Mungkin kerana kementerian ini adalah antara kementerian yang terpenting serta memainkan peranan besar dalam mencorak masa depan negara.

Sepanjang hampir dua tahun di bawah teraju beliau, banyak perkara dan peristiwa yang ditempuh. Maklum sahajalah perjuangan merubah nilai bercampur cerita persepsi politik, tidak mudah untuk ditangani bersama.

Sepanjang setahun, banyak perubahan drastik yang berlaku di bawah kepimpinan beliau sehingga membuka mata semua pendidik.

Di bawah KPM kini, terdapat sembilan teras pencapaian yang disasarkan iaitu manfaat untuk pelajar B40, guru sebagai fokus utama, murid sebagai tonggak, komitmen tangani isu sekolah daif, perhatian penuh kepada OKU, kewibawaan institusi pendidikan tinggi, peningkatan kerjasama dalam pendidikan tinggi, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional serta pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera.

Berpandukan pada teras yang pertama dalam pencapaian KPM, banyak perubahan dilakukan antaranya membuka kuota sebanyak 60 peratus kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) mulai tahun 2019 yang menyaksikan seramai 4,888 orang pelajar ditawarkan ke SBP.

Seterusnya, berdasarkan teras ini KPM juga memberi keutamaan kepada pelajar B40 dengan memastikan sebanyak 60 peratus daripada jumlah enrolmen dikhaskan kepada golongan itu.

Perubahan

Bagi aspek bebanan tugas guru, KPM berjaya memansuhkan sebanyak 30 peratus daripada beban kerja guru.

Selain itu, KPM juga berpegang kepada teras murid sebagai tonggak dan melalui teras itu KPM memansuhkan peperiksaan tahap 1 yang melibatkan lebih satu juta murid.

Teras keempat ialah komitmen untuk menangani isu sekolah daif. Berdasarkan teras tersebut KPM memulakan pembinaan sebanyak 107 buah sekolah yang dijangka siap pada penghujung tahun 2019.

Seterusnya, sebanyak 93 buah sekolah sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Jumlah paling tinggi dalam menangani isu sekolah daif ini adalah sebanyak 301 buah sekolah sudah siap dibina dan dilengkapi dengan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC).

Artikel Berkaitan:

Perhatian penuh kepada OKU juga merupakan teras dalam pencapaian KPM sekarang. Hal ini kerana, KPM memperkenalkan Dasar Sifar Penolakan.

Berdasarkan dasar itu, seramai 10,948 murid telah mendapat manfaat di bawah Murid Berkeperluan Khas (MBK) pada April 2019.

Kewibawaan institusi pendidikan tinggi juga menjadi teras dalam KPM di bawah teraju Dr Maszlee.

Kewibawaan itu terserlah apabila KPM telah membuat pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dengan memansuhkan AUKU yang akan digantikan dengan akta baharu sedang dirangka untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun 2020.

TVET juga tidak terlepas dalam teras pencapaian apabila pada 21 Jun 2018 telah ditubuhkan jawatankuasa pemerkasaan TVET yang bertujuan untuk memperkasakan pendidikan dan hala tuju TVET.

Pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera juga merupakan teras dalam pencapaian KPM. Pelbagai program telah dilaksanakan menerusi teras pencapaian itu seperti Program Sasterawan Negara Universiti.

Perubahan yang berlaku dalam pendidikan sepanjang setahun ini amat mementingkan nilai untuk kesejahteraan generasi akan datang. Sememangnya, perubahan itu dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

Mungkin menyingkap perubahan dilakukan Dr Maszlee jauh daripada kewajaran untuk dipanjangkan dan diuar-uarkan, namun jika tidak dikongsikan sudah tentu besar lagi persepsi dan jurang tanggapan masyarakat.

Perubahan dalam pendidikan bukanlah taruhan yang dinilai untuk setahun dua atau untuk dilihat kesannya sekelip mata.

Semoga segala yang diusahakan oleh barisan kepimpinan di bawah KPM akan mencapai matlamat dan manfaatnya ke arah kemajuan pendidikan negara.

*Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM)