Sisa kimia mengandungi bahan buangan terjadual

Kerja-kerja pemulihan sedang giat dilakukan di lokasi kejadian. - Foto UPBN Selangor
Kerja-kerja pemulihan sedang giat dilakukan di lokasi kejadian. - Foto UPBN Selangor
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pembuangan sisa kimia di dua lokasi berhampiran Jalan Kapar, Batu 16, Kampung Tambak Jawa disyaki mengandungi bahan terjadual iaitu pelekat atau glu (SW303), bahan buangan getah (SW321) dan bahan buangan pelarut organik (SW332).

Menerusi satu kenyataan, Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor berkata, buat masa ini sampel kandungan bahan buangan itu telah diambil dari tong dan tanah yang tercemar untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis komposisi serta kandungannya.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan, pemulihan dan pelupusan di tapak lokasi berkenaan juga akan dilaksanakan oleh pihak Kualiti Alam Sdn Bhd dengan anggaran kos keseluruhan bernilai RM1 juta.

"Pemilik tanah telah dikenal pasti dan tindakan rampasan tanah boleh diambil melalui Kanun Tanah Negara.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Daerah Kuala Selangor juga akan melaksanakan kawalan keselamatan 24 jam sehingga sisa kimia dibawa keluar dari dua lokasi terlibat," kata kenyataan itu.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian (kanan) memantau keadaan di tapak pembuangan sisa kimia tersebut. - Foto UPBN Selangor
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian (kanan) memantau keadaan di tapak pembuangan sisa kimia tersebut. - Foto UPBN Selangor

Menurut kenyataan itu lagi, industri berkaitan juga sedang disiasat untuk tindakan Akta Kualiti Alam Sekeliling oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas ini.

Sebelum ini, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran dan letupan dipercayai membabitkan beberapa tong bahan kimia di kawasan berkenaan sekitar jam 3.29 pagi.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, anggota JBPM digerakkan ke lokasi kejadian dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 5.58 pagi.

Sebelum ini, UPBN Selangor juga memaklumkan akan membina parit sementara di sekitar kawasan terbabit dan pihaknya masih menunggu penilaian dibuat oleh Unit Kualiti Alam Sekitar sebelum melupuskan sisa tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga jam padam kebakaran 270 tong bahan kimia

Tong kimia terbakar: Ada unsur sabotaj, lupus bukti