Dua anggota, pesara polis bebas tuduhan rasuah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan dua anggota dan seorang pesara polis terhadap tiga tuduhan menerima suapan wang tunai supaya tidak mengambil tindakan ke atas seorang suspek berkaitan kes dadah, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap Sarjan Azahar Adon,56, Koperal Rosli Bali, 55, dan pesara polis Yusoff Ali, 60.

Mohd Yazid ketika penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan berkenaan kerana wujud percanggahan material dan keterangan saksi pendakwaan yang mencurigakan.

"Mahkamah mendapati tiada alasan antara ketiga-tiga tertuduh mempunyai niat yang sama melakukan kesalahan itu selain saksi dikemukakan dicurigai kredibiliti dan niat mereka.

“Pihak pendakwaan juga gagal mengemukakan saksi pendakwaan yang konsisten," katanya.

Mohd Yazid juga menegaskan berlaku kekhilafan ketika Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman sebelum ini terhadap perayu apabila tidak mempertimbangkan percanggahan fakta dan keraguan yang dikemukakan saksi pendakwaan.

"Pendakwaan juga gagal mengemukakan birokrasi antara saksi dan kenyataan saksi juga tidak dianalisa dengan teliti," katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh dilihat turut diiringi ahli keluarga dan selepas keputusan diumumkan kesemua mereka keluar dari kamar mahkamah dengan tenang.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini tertuduh, Sarjan Azahar Adon; 56, Koperal Rosli Bali, 55, dan pesara polis Yusoff Ali, 60, membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen.

Rayuan tertuduh dibenarkan dan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM 25,000 gagal bayar penjara enam bulan.

Ketiga-tiga mereka yang sebelum ini berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya ketika kejadian, dituduh memperoleh suapan RM5,000 daripada Mohd Rizal Jantan melalui Mariani Ismon supaya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu yang disyaki memiliki dan mengedar dadah.