Polis rampas 1.2 tan ketum di Cameron Highlands

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Polis menahan dua lelaki dan merampas 1.2 tan daun kering disyaki daun ketum bernilai kira-kira RM50,000 dalam serbuan berasingan di kawasan simpang tiga Blue Valley, Kampung Raja di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam serbuan pertama Op Tapis itu, seorang pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berumur 38 tahun ditahan kira-kira jam 5 pagi.

”Pemeriksaan ke atas suspek menemukan 47 bungkusan plastik hitam mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum dengan anggaran berat sebanyak 618kg (kilogram).

“Ujian saringan air kencing pemandu itu juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ashari berkata, dalam serbuan kedua, pihaknya menahan seorang pemandu kereta pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berumur 42 tahun di lokasi sama pada jam 5.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan dilaksanakan, pihak polis menemukan 50 bungkus plastik hitam yang mengandungi daun hijau disyaki daun ketum dengan berat anggaran 602 kg,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang dipercayai daripada kumpulan sama mendapatkan bekalan daun ketum dari negeri di utara tanah air untuk dijual ke negara jiran.

Menurutnya, pihak polis percaya kedua-dua suspek menggunakan laluan ini untuk menyeludup daun ketum dan dibawa ke negara jiran melalui Kelantan kerana laluan ini agak sunyi.

Artikel Berkaitan:

“Daun ketum mendapat permintaan tinggi di negara jiran dan boleh dijual sehingga RM60 ke RM80 sekilogram,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - Bernama