Johor terima peruntukan RM765.5 juta daripada kerajaan

Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor telah menerima peruntukan sebanyak RM765.5 juta daripada kerajaan Persekutuan sehingga 30 Oktober lepas.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Johor merupakan negeri ketiga tertinggi menerima peruntukan 2018 daripada kerajaan persekutuan iaitu berjumlah RM871.46 juta selepas Sarawak dan Sabah.

“Peruntukan itu meliputi pemberian penyelenggaraan jalan negeri sebanyak RM503.04 juta, membiayai perbelanjaan mengurus Jabatan Gunasama sebanyak RM58.36 juta dan pemberian mengikut bilangan penduduk sebanyak RM47.4 juta,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Rosleli Jahari (PH-Kota Lama) mengenai saiz peruntukan dana yang diterima daripada kerajaan Persekutuan, beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi perbelanjaan mengurus kerajaan dan pembangunan di seluruh negeri Johor.

Dr Sahruddin berkata, pengurangan peruntukan perbelanjaan pembangunan di Johor khasnya bagi tahun ini adalah berikutan pendekatan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memfokuskan kepada kualiti pertumbuhan pembangunan.

Katanya, peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi Belanjawan 2017 adalah sebanyak RM763.3 juta manakala pada tahun 2018 pula adalah RM700 juta dan sebanyak RM600 juta disediakan untuk tujuan pembangunan pada 2019.

"Ini bermakna kerajaan hanya akan berbelanja setelah kajian keutamaan dan output projek dikenalpasti bagi pulangan yang maksimum kepada rakyat.

“Paling penting kerajaan perlu memastikan manfaat pertumbuhan pembangunan dikongsi secara adil dalam kalangan rakyat. Boleh disimpulkan di sini, kerajaan kini lebih menumpukan kepada perbelanjaan berteraskan keperluan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) mengenai perbezaan perbelanjaan antara pemerintahan kerajaan lalu dengan kerajaan sedia ada. - Bernama

Artikel Berkaitan: