X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia terus bantu cari penyelesaian konflik Palestin-Israel

Palestin
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha mencari penyelesaian dalam konflik Palestin-Israel khusus ke arah kewujudan Palestin sebagai negara yang berdaulat dan merdeka.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, kerajaan akan terus memberi sokongan kepada rakyat Palestin dari segi politik, ekonomi, moral selain menghulur bantuan kemanusiaan termasuk berbentuk sumbangan kewangan serta sumbangan pembangunan dan infrastruktur.

Beliau berkata demikian dalam sesi Kamar Khas di bangunan Parlimen hari ini.

Sesi itu diadakan selepas mendapat kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof bagi membahaskan usul khas mengecam serangan udara rejim Zionis yang dilapor mengorbankan sekurang-kurangnya 34 nyawa dan mencederakan lebih 100 orang di Gaza baru-baru ini.

Sambil mengutuk serangan tersebut, Marzuki berkata, kerajaan Malaysia menyifatkan serangan udara terhadap Palestin adalah keterlaluan dan pihak Israel tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa yang sedia ada.

“Serangan tersebut boleh disifatkan sebagai pelanggaran Artikel 3 pada Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) di mana setiap manusia mempunyai hak kepada nyawa, kebebasan, dan keselamatan diri,” katanya.

Dalam sesi itu juga, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan mencadangkan agar kerajaan mengisytihar solidariti bersama rakyat Palestin melalui sokongan kedutaan Palestin di sini selain memperkasa usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mempercepat tindakan pendakwaan ke atas Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!