Tenaga pakar Jabatan Kimia Malaysia antara terbaik di Asia

Isnaraissah Munirah (tiga dari kiri) ketika melawat bahagian Seksyen DNA Forensik pada perasmian Bangunan Baharu Jabatan Kimia Malaysia Terengganu di Wakaf Beruas hari ini. -Foto Bernama
Isnaraissah Munirah (tiga dari kiri) ketika melawat bahagian Seksyen DNA Forensik pada perasmian Bangunan Baharu Jabatan Kimia Malaysia Terengganu di Wakaf Beruas hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kepakaran ahli forensik di Jabatan Kimia Malaysia antara terbaik di Asia dan hampir setanding dengan negara maju di dunia, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 300 pakar forensik yang berkhidmat di Jabatan Kimia Malaysia termasuk di ibu pejabat, Petaling Jaya dan 12 cawangannya di seluruh negara.

Beliau berkata, ia merangkumi kepakaran dalam semua bidang seperti forensik DNA, narkotik, alam sekitar, toksikologi dan kriminalistik yang memainkan peranan sangat penting walaupun bertugas di belakang tabir.

"Jabatan Kimia Malaysia mempunyai tenaga pakar hebat dan boleh dikatakan antara perintis di negara Asia. Begitu juga daripada segi peralatan, kita mempunyai makmal serta peralatan berteknologi terkini yang boleh melakukan semua kerja forensik tanpa perlu merujuk kepada negara luar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Jabatan Kimia Malaysia Terengganu di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman.

Mengulas lanjut Isnaraissah Munirah berkata, pada masa ini Jabatan Kimia Malaysia mengendalikan kira-kira 20,000 sampel sehari termasuk bagi kes dadah, jenayah, pencemaran alam sekitar, makanan dan sebagainya.

Beliau berkata, walaupun jumlah itu agak besar, faktor kecekapan tenaga pakar dan sokongan daripada pegawai pengurusan profesional membolehkan analisis sampel dapat dijalankan dengan cepat.

"Berdasarkan laporan pencapaian piagam pelanggan Jabatan Kimia Malaysia untuk tempoh Januari hingga September tahun ini, purata peratus keseluruhan prestasi makmal-makmal negeri dan cawangan telah mencapai 96.6 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah satu pencapaian yang cemerlang dan harap dapat ditingkatkan kepada 100 peratus pada tahun hadapan," katanya.

Mengenai bangunan baharu Jabatan Kimia Terengganu, Isnaraissah Munirah berkata, selain makmal narkotik, alam sekitar, toksikologi dan kriminalistik ia juga akan dilengkapi dengan dua lagi makmal baharu iaitu Pusat Analisis DNA Forensik dan Pusat Analisis Air yang akan menjadi rujukan bagi negeri-negeri di Zon Timur.

Beliau berkata, dengan penubuhan makmal baharu ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguat kuasa yang lain di Terengganu, Pahang dan Kelantan tidak perlu lagi menghantar sampel bagi kes-kes jenayah atau sebagainya ke ibu pejabat seperti sebelum ini sekali gus mengurangkan beban kerja kakitangan yang bertugas di Petaling Jaya.

"Pembukaan Pusat Analisis DNA Forensik Zon Timur Semenanjung (di Terengganu) adalah yang terakhir dan melengkapkan perkhidmatan DNA Forensik Jabatan Kimia Malaysia di seluruh zon dalam negara.

"Bagi Pusat Analisis Air pula, ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada ibu pejabat dan boleh menjadi pusat gantian jika berlaku kerosakan peralatan di ibu pejabat," katanya.

Katanya, kedua-dua makmal baharu itu dijangka dapat beroperasi pada awal tahun depan selepas kerja-kerja memasukkan beberapa peralatan serta kelengkapan selesai dijalankan.

- Bernama