Lebih ramai majikan berminat sertai CSI dengan ambil ODP bekerja

Abd Aziz menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil majikan yang menyertai Program CSI di negeri ini
Abd Aziz menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil majikan yang menyertai Program CSI di negeri ini
A
A
A

KUANTAN - Disiplin dan kepatuhan terhadap arahan dalam kalangan Orang Di Parol (ODP) yang diambil bekerja dalam beberapa sektor pekerjaan di negeri ini menarik minat majikan untuk menggunakan khidmat mereka melalui program Corporate Smart Internship (CSI).

Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, sejak CSI diperkenalkan dua tahun lalu, seramai 2,000 ODP diambil bekerja dalam sektor perladangan, penternakan dan perkhidmatan.

Menurutnya, ketika ini seramai 209 ODP sedang bekerja dengan beberapa majikan termasuk sembilan syarikat yang mengambil bahagian dalam program itu.

"Setakat ini kita menerima maklum balas positif berkaitan disiplin dan kepatuhan terhadap arahan kerja. Mereka banyak membantu syarikat dalam skop kerja yang diamanahkan," katanya ketika ditemui selepas Program Outreach Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar Bersama Majikan CSI di Penjara Penor di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penjara Pahang, Datuk Abd Basir Mohamad.

Abdul Aziz berkata, ramai ODP yang bekerja di bawah CSI terus diterima majikan selepas tamat tempoh hukuman dan berharap lebih banyak syarikat menyertai program CSI.

"Majikan yang berminat boleh berhubung dengan Pejabat Pengarah Penjara Negeri untuk berbincang,"katanya.

Terdahulu dalam ucapannya mewakili Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar, Abdul Aziz berkata, program itu juga memberi peluang kepada ODP menjalani kehidupan bersama masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Cemuhan dan kecaman terhadap golongan ini tidak menyelesaikan masalah sebaliknya mereka perlu sokongan untuk berubah dan menjalani kehidupan yang produktif," katanya.

Sementara itu, wakil majikan, Nor Hisham Bahaudin, 40, berkata, syarikatnya yang menjalankan perniagaan membekal santan mengambil lima ODP untuk bekerja di cawangan Kuantan sejak enam bulan lalu.

Katanya, keputusan mengambil ODP susulan keyakinan syarikat induk di Melaka yang lebih awal menggunakan khidmat mereka.

"Sepanjang mereka bekerja, semuanya memberikan komitmen terhadap tugas masing-masing dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.

Nor Hisham berkata, kebajikan mereka juga diberi perhatian sama seperti pekerja lain termasuk menyediakan tempat tinggal dan gaji yang setimpal.

"Cuma mereka terikat dengan syarat dan dipantau pihak jabatan parol sepanjang tempoh bekerja sehingga tamat tempoh hukuman," katanya.