Bicara Minda bersama Menteri Kesihatan dibatalkan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Program Bicara Minda bersama Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad anjuran Sinar Harian yang sepatutnya dijadualkan jam 2.30 petang ini dibatalkan kerana Menteri Kesihatan itu terpaksa menghadiri tugasan lain.

Program mingguan Sinar Harian itu dibatalkan selepas Setiausaha Sulit Kanannya, Mohd Hamidi Abu Bakar menghantar satu pesanan WhatsApp kepada produser rancangan tersebut memaklumkan ketidakhadiran menteri berkenaan.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin berkata, sebagai penganjur program, Sinar Harian mengambil maklum perkara berkenaan.

“Kami hanya dimaklumkan pembatalan adalah di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan pihak pejabat menteri memohon maaf atas perkara ini,” katanya.

Bicara Minda ialah rancangan soal jawab melibatkan tokoh-tokoh berpengaruh dari dalam dan luar negara dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar. Ia berlangsung selama satu jam 30 minit.

Program itu disiarkan secara langsung menerusi kesemua platform media sosial iaitu Facebook, YouTube, Twitter dan portal Sinar Harian.

Bicara Minda Sinar Harian kini telah menghampiri tahun kedua penganjurannya.

Sebelum ini program tersebut juga pernah mengundang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu khasnya.

Artikel Berkaitan: