X

Kindly register in order to view this article
!

Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 dirangka lebih dinamik

Nurazizi menunjukkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang telah diwartakan pada tahun 2004.
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi penekanan yang serius dalam menghasilkan Pelan Pembangunan 2040 lebih dinamik mengikut Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 atau lebih dikenali sebagai Akta 267.

Seperti sedia maklum, menjelang tahun hadapan, Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 merangkumi pelan struktur dan pelan tempatan yang diwartakan sebelum ini akan tamat tempoh dan memerlukan penyediaan draf baharu untuk dipamerkan kepada pihak awam.

Untuk tujuan itu, DBKL pada masa kini giat menyediakan Pelan Struktur 2040 dan Pelan Tempatan 2040 berkenaan dengan mengambil kira perkara-perkara yang menjadi keutamaan dan perhatian penduduk di Kuala Lumpur.

Pelan struktur merupakan kenyataan bertulis yang mengandungi matlamat dan objektif am, dasar dan cadangan yang bersangkutan dengan pembangunan, guna tanah, perancangan sosial, ekonomi dan fizikal serta pengurusan lalu-lintas di dalam Kuala Lumpur.

Kenyataan bertulis itu akan disertai gambar rajah, keterangan dan bahan huraian bagi membantu memahami dasar dan cadangan yang dikemukakan.

Pelan Tempatan Kuala Lumpur pula mementingkan pelaksanaan dasar dan cadangan Pelan Struktur yang lebih terperinci.

Pelan ini juga mengandungi peta, gambarajah yang menjelaskan secara terperinci sesuatu cadangan, penyataan strategi dan dasar yang dicadangkan dalam pelan struktur.

Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, Nurazizi Mokhtar berkata Pelan Struktur Kuala Lumpur yang pertama telah disediakan pada tahun 1980 dan pemakaian draf berkenaan diwartakan pada tahun 1984.

"Mengikut undang-undang, selepas pelan struktur itu dihasilkan, DBKL juga perlu keluarkan pelan tempatan namun pada ketika itu, atas pelbagai faktor, pelan tempatan berkenaan tidak dapat disediakan.

"Jadi pada tahun 2004, DBKL telah mewartakan pelan struktur yang kedua dan kemudian kami menyediakan juga Pelan Tempatan yang pertama. Selepas melalui pelbagai proses akhirnya ia berjaya diwartakan pada 30 Oktober 2018 iaitu kira-kira 10 tahun selepas draf pertama dipamerkan pada awam,"katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Nurazizi berkata, mengikut undang-undang, selepas draf pelan struktur dan pelan tempatan itu siap, ia seharusnya dipamerkan dan DBKL juga perlu mendapatkan pandangan awam berhubung perancangan yang dirangka tersebut.

Beliau berkata, Menteri Wilayah Persekutuan harus menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mendengar semua bantahan-bantahan berkenaan yang perlu diberikan secara bertulis.

"Semasa proses penyertaan awam bagi penyediaan Pelan Struktur 2020, DBKL menerima 258 borang bantahan dan pandangan yang merangkumi 938 bantahan dan pandangan secara keseluruhan di mana 18 peratus melibatkan pengangkutan, 15 peratus kemudahan masyarakat dan 10 peratus perumahan serta setinggan.

"Manakala, semasa proses penyertaan awam bagi penyediaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 pada tahun 2008 lalu, kita terima 5,052 borang bantahan dan pandangan awam yang melibatkan 62,000 pandangan atau bantahan. Malah sesi pendengaran awam juga berlangsung lebih kurang untuk tempoh lapan bulan bermula September 2008 hingga Mei 2009,"katanya.

Dalam pada itu, Nurazizi berkata ahli di dalam Jawatankuasa Pendengaran Pandangan Awam (JKPPA) tersebut merupakan pihak yang bebas dan terdiri daripada bekas-bekas anggota kerajaan, ahli profesional, ahli perniagaan dan lain-lain.

Beliau berkata, jawatankuasa terlibat juga perlu menyediakan Laporan Mendengar Bantahan Awam untuk diserahkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi sebarang pindaan terhadap draf pelan berkenaan.

"Selepas itu, Datuk Bandar akan kemukakan pindaan draf itu kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan beliau juga akan dapatkan nasihat daripada Lembaga Penasihat Perancangan.

"Kemudian menteri akan buat keputusan sama ada meluluskan draf tersebut atau melakukan pindaan. Dan sekiranya selesai, dokumen berkenaan sedia untuk diwartakan penerimaannya," katanya.

Selepas pelan berkenaan digunapakai, Nurazizi berkata DBKL akan melaksanakan proses kawalan perancangan di mana setiap pemilik yang ingin memajukan tanah mereka seharusnya mendapat Kelulusan Perancangan terlebih dahulu.

Ujar beliau, Datuk Bandar akan membuat pertimbangan bagi sebarang Kelulusan Perancangan dengan berpandukan kepada Pelan Pembangunan tersebut.

"Maksudnya, jika pelan berkenaan menyatakan bahawa tapak terlibat adalah zon kediaman, maka Datuk Bandar akan pastikan pembangunan yang ingin dilaksanakan itu adalah mengikut ketetapan berkenaan walaupun permohonan pemilik terlibat adalah bagi tujuan komersil dan lain-lain.

"Namun sekiranya sewaktu membuat pertimbangan tersebut Datuk Bandar merasakan ada kewajaran setelah mengambil kira semua kriteria untuk meluluskan perancangan berkenaan walaupun tidak selari dengan Pelan Pembangunan itu, maka undang-undang ada memberi peruntukan untuk dilakukan pindaan tersebut.

"Dan proses pindaan atau perubahan itu sama seperti proses awal tadi di mana perlu membuat draf, pewartaan, pendengaran bantahan, dan lain-lain," katanya.

Selain itu, beliau berkata, struktur pentadbiran perancangan di Kuala Lumpur berbeza dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di semenanjung yang perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri bagi Pelan Struktur masing-masing manakala DBKL pula harus mendapatkan persetujuan daripada menteri.

Tambahnya, DBKL sentiasa peka dengan segala proses dalam penyediaan Pelan Struktur dan Pelan Tempatan itu bagi memastikan ia dirangka mengikut ketetapan akta yang ditetapkan.

"Jika kita tak ikut akta berkenaan, nanti mana-mana pihak boleh cabar pelan yang kita buat ini dan disebabkan itulah DBKL sangat berhati-hati dalam merangka perkara ini bagi memastikan penghasilannya mengikut undang-undang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus