Kongres Bolivia lulus undang-undang adakan Pilihan Raya Presiden

Senator sebulat suara menyokong rang undang-undang baharu tersebut.
Senator sebulat suara menyokong rang undang-undang baharu tersebut.
A
A
A

SUCRE - Kongres Bolivia semalam sebulat suara meluluskan rang undang-undang yang membuka jalan kepada Pilihan Raya Presiden baharu di negara itu selepas kerajaan sementara bertemu dengan kumpulan penunjuk perasaan bagi menamatkan krisis itu yang telah meragut 32 nyawa.

Senat dilaporkan memberi kelulusan selepas sesi perdebatan selama beberapa jam disusuli langkah sama dibuat Dewan Timbalan tidak lama selepas itu.

Selain itu, undang-undang baharu itu turut menghalang bekas Presiden, Evo Morales bertanding semula dan membatalkan keputusan pemilihan pada 20 Oktober lalu yang telah mencetuskan bantahan.

Difahamkan, presiden sementara, Jeanine Anez perlu menandatangani dokumen itu sebelum ia dikuatkuasakan sebagai undang-undang sah.

Kongres juga perlu mencapai persetujuan berhubung pelantikan tujuh anggota baharu Mahkamah Pilihan Raya selepas panel terdahulu disingkirkan kerana didakwa memanipulasi keputusan pemilihan sebelum ini.

Pilihan raya baharu dilihat sebagai kunci utama untuk menamatkan sengketa politik terburuk di Bolivia dalam tempoh 16 tahun yang telah menyebabkan perpecahan antara penyokong pro-Morales dan golongan pertengahan serta atasan di negara itu. - AFP

Artikel Berkaitan: