Jutaan rakyat Hong Kong keluar mengundi

Barisan panjang dapat dilihat di kebanyakan pusat mengundi seawal jam 7.30 pagi apabila ia mula dibuka.
Barisan panjang dapat dilihat di kebanyakan pusat mengundi seawal jam 7.30 pagi apabila ia mula dibuka.
A
A
A

HONG KONG - Jutaan rakyat Hong Kong keluar mengundi untuk memilih ahli majlis daerah dalam pilihan raya tempatan wilayah itu hari ini.

Setakat jam 11.30 pagi (waktu tempatan), kira-kira satu perempat atau 1 juta daripada jumlah keseluruhan 4.1 juta pengundi telah melaksanakan hak mereka.

Jumlah itu adalah dua kali ganda berbanding pilihan raya daerah terakhir pada 2015.

Barisan panjang dapat dilihat di kebanyakan pusat mengundi seawal jam 7.30 pagi apabila ia mula dibuka.

Disebabkan jumlah pengundi yang keluar mengundi begitu ramai, ada di antara mereka sanggup menunggu lebih sejam sebelum giliran mereka tiba.

Menurut laporan media, sebahagian pengundi hari ini adalah pengundi muda.

Seramai 1,090 calon bertanding untuk merebut 452 kerusi, kali pertama yang menyaksikan semua kerusi dalam pilihan raya dipertandingkan selepas ratusan calon prodemokrasi muncul susulan rusuhan baru-baru ini.

Lebih 390,000 pengundi baharu mendaftar tahun ini, menjadikan jumlah pengundi berdaftar mencatat rekod 4.1 juta orang.

Artikel Berkaitan:

Pilihan raya daerah adalah satu-satunya pemilihan demokratik sepenuhnya di Hong Kong. Pemimpin bandar tidak dipilih secara langsung dan hanya separuh daripada Majlis Perundangan Hong Kong iaitu badan pembaut undang-undang dipilih secara langsung.

Fokus utama pemilihan ahli majlis adalah pada isu tempatan dan biasanya yang kurang mendapat perhatian.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam yang membuang undi di Kolej Raimondi merayu kepada pengundi yang keluar mengundi untuk memilih calon yang boleh mewakili kepentingan mereka.

Tempoh seterusnya untuk majlis daerah akan bermula 1 Januari depan.

Lam turut berikrar untuk menyokong sepenuhnya kerja majlis daerah, menyediakan lebih banyak sumber dan mendengar dengan lebih teliti segala pandangan serta pendapat yang diutarakan anggota majlis.

"Kita menghadapi situasi yang sangat mencabar dalam menganjurkan pilihan raya tahun ini tetapi dengan usaha bersepadu semua pihak termasuk lebih 30,000 penjawat awam di pelbagai jabatan kita boleh mempunyai pilihan raya yang tenang," katanya. - Agensi