X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Anak bukan robot

A
A

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah agar ibu bapa dan guru untuk tidak menekan anak-anak secara keterlaluan dalam pelajaran kerana dibimbangi memberi kesan psikologi kepada anak tersebut.

Titah baginda, perkara itu dikhuatiri akan menyebabkan anak mengalami tekanan atau depresi sehingga membawa kepada kejadian lebih buruk.

Anak hanya melalui zaman kanak-kanak sekali sahaja.

Ada ketikanya perlu diberikan ruang dan masa untuk bermain dan menikmati masa gembira dengan pengawasan daripada ibu bapa dan dibantu guru.

Seolah-olah anak dijadikan seperti robot yang diarah dan mengikuti arahan ibu bapa.

Sedangkan seawal usia persekolahan, anak-anak masih perlukan kasih sayang dan berkomunikasi bersama ibu bapa dan rakan sebaya.

Ia selaras dengan trend dan kecenderungan ibu bapa masa kini yang berlumba-lumba mengasak anak-anak menumpukan pelajaran seawal mereka menjejaki sekolah rendah.

Sehinggakan ada menghantar anak-anak darjah satu mengikuti tuisyen bagi memastikan mereka berjaya dalam pelajaran.

Sememangnya semua ibu bapa mahukan anak-anaknya cemerlang.

Namun di usia setahun jagung mereka dipaksa dan ditekan untuk terlalu menumpukan perhatian pada pelajaran dan itu tindakan melampau.

Apatah lagi kini, sekolah berlumba-lumba memastikan kecemerlangan pelajarnya kerana kejayaan dan kecemerlangan pelajar lebih menjurus kepada keputusan peperiksaan di sekolah.

Sehinggakan pada hujung minggu yang sepatutnya waktu senggang dan rehat buat anak-anak tetapi terpaksa mengikuti pelbagai kelas seperti muzik, melukis renang dan lainnya.

Ia menjadi trend di bandar-bandar dalam kalangan ibu bapa yang sibuk.

Jika asakan dan jadual ketat dalam tempoh seminggu, anak-anak sebenarnya tertekan.

Mereka terpaksa akur dan tidak membantah. Hakikatnya, mereka memberontak dalam diam.

Sejauh mana kelas tuisyen dan jadual yang ketat menjamin kejayaan pelajar?

Menurut pakar psikologi Estein, Christenson dan Sheridan, semua ibu bapa inginkan anak mereka berjaya dalam pelajaran.

Walau bagaimanapun, kebanyakan mereka sebenarnya tidak tahu caranya membantu anak-anak mereka meningkatkan prestasi dalam pelajaran.

Sebenarnya, tumpuan pelajar semasa guru mengajar ialah salah satu resipi kejayaan seorang pelajar.

Sokongan

Begitu juga tidak banyak diketahui tentang mengapa ibu bapa kurang melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak ketika di sekolah menengah berbanding penglibatan di tahap awal persekolahan (prasekolah) dan sekolah rendah sedangkan sokongan ibu bapa dalam aktiviti sekolah menjadi pendorong dan motivasi anak.

Kajian lalu menunjukkan ibu bapa lebih obses dan banyak melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak ketika di sekolah rendah.

Malangnya, penglibatan mereka semakin berkurangan ketika di sekolah menengah.

Pelbagai alasan diberikan oleh ibu bapa untuk kurang terlibat dalam pelajaran anak-anak di sekolah menengah.

Antaranya kerana kurikulum dan silibus semakin mencabar.

Apatah lagi silibusnya jauh berbeza dengan apa yang dipelajari oleh ibu bapa pada zaman persekolahan mereka dahulu.

Ibu bapa juga menganggap anak-anak di sekolah menengah mampu berdikari dan mengurus diri dan memberi tumpuan lebih kepada anak-anak yang masih kecil.

Namun, alasan itu boleh dipertikaikan.

Ia berikutan penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak tidak semestinya penyertaan secara langsung.

Pemantauan dan perhatian boleh juga berlaku secara tidak langsung dan penglibatan itu sendiri tidak hanya terhad di sekolah sahaja sebaliknya boleh juga berlaku di rumah.

Menurut Muller, persepsi dan ekspektasi ibu bapa yang keterlaluan untuk melihat anak-anak berjaya memberi kesan berbeza kepada pencapaian setiap anak-anak.

Anak-anak cenderung membuat penyesuaian terhadap harapan ke arah yang lebih baik khasnya dalam pelajaran apabila menyedari ibu bapa terlibat sama dalam persekolahan mereka.

Ibu bapa seharusnya bersikap realistik dalam meletakkan harapan supaya ekspektasi seiring dan dapat membantu anak-anak mencapai impian mereka juga.

*Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian MediaUniversiti Teknologi Mara


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!