Agong letak jawatan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz melalui kenyataan media Istana Negara, hari ini.

"Bagi menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini lstana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Januari 2019 (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Baginda telah memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-raja," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu lagi, baginda sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara.

“Baginda berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat.

“Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang telah memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016,” katanya.

Tambah beliau, Sultan Muhammad juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan yang telah beri kerjasama dalam mentadbir negara.

Artikel Berkaitan:

“Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini.

“Kepada rakyat Malaysia, baginda bertitah supaya rakyat terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan turut memaklumkan Sultan Muhammad bersedia berangkat pulang ke Kelantan untuk bersama-sama kerajaan negeri dan rakyat Kelantan bagi menjaga dan menbangunkan negeri tersebut demi kesejahteraan rakyat.