X

Kindly register in order to view this article
!

TUKAR sampah menjadi duit

KOLEKSI dompet wanita yang dihasilkan menggunakan kain-kain perca.
A
A

Marlena bantu lebih ramai wanita jana pendapatan

PERCA-PERCA kain dan botol mineral yang diberikan sentuhan kreativiti hingga menjadi aksesori menarik mampu menjana pendapatan yang cukup lumayan.

Itu berjaya dibuktikan seorang usahawan yang juga tenaga pengajar program Pusat Cakna Bangun Ekonomi (PACBE) di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Tanty Marlena Abdullah, 38, dari Taman Angkasa, Kuala Lumpur.

Lebih membanggakan, hasil kraftangan wanita gigih itu mendapat permintaan dari luar negara yang secara tidak langsung membantu lebih ramai wanita khususnya golongan berpendapatan rendah(B40) menjana pendapatan dari rumah.

Berkongsi cerita, suri rumah yang mesra disapa Marlena itu berkata, beliau kini menghasilkan hampir 10 jenis produk berasaskan jahitan manik dan kraftangan dengan bantuan tiga pekerja tetap yang merupakan peserta PACBE.

"Bidang utama saya sebenarnya jahitan manik dan antara produk lain ialah pembuatan bunga daripada kain perca, beg, shawl (selendang), kerongsang dan aksesori yang dihasilkan daripada botol mineral serta rantai.

"Paling mendapat permintaan ialah jahitan manik dan bunga daripada perca kain. Tempahan bagi jahitan manik sebenarnya tidak bermusim dan meningkat menjelang hari raya. Waktu itu saya akan tambah pekerja yang terdiri daripada peserta program PACBE,” katanya kepada Femina.

MARLENA antara usahawan kreatif dan inovatif 'keluaran' program PACBE.
MARLENA antara usahawan kreatif dan inovatif 'keluaran' program PACBE.

Menurutnya, bunga daripada kain perca pula bukan sahaja boleh dijadikan kerongsang, tetapi beliau juga menerima banyak tempahan daripada pereka fesyen yang mahu menggunakan aksesori itu pada hasil rekaan mereka.

"Aksesori dihasilkan daripada botol mineral pula mendapat permintaan daripada luar negara untuk program kitar semula, manakala shawl dipasarkan ke Singapura dan Brunei buat masa ini," jelas beliau.

Marlena berkata, ‘produk’ utamanya buat masa ini ialah peserta PACBE memandangkan kini beliau merupakan tenaga pengajar selain usahawan.

"Sebelum menyertai JPW saya telah menjalankan perniagaan jahitan dan kraftangan sekitar tahun 2000 dan ketika menyertai program di bawah JPW kira-kira hampir 10 tahun lalu, saya cuma usahawan biasa- biasa sahaja.

"Di bawah JPW, saya sertai program perancang majlis dan selain dapat menimba pelbagai ilmu berkaitan termasuk dunia keusahawanan, saya juga diberi peluang menyertai kelas kaunseling. Saya juga dihantar menghadiri kursus-kursus bagi menghebatkan lagi cara mengajar.

"Bermula daripada itu, berbekalkan pengalaman dan kemahiran yang ada, saya buatlah kelas mengajar jahitan manik, kraftangan dan sehingga sekarang menjadi salah seorang tenaga pengajar peserta program PACBE dalam bidang jahitan,” ujarnya.

Menurutnya, setakat ini beliau mengajar lebih 2,000 pelajar setahun termasuk peserta PACBE dan lain-lain antaranya usahawan desa.

Marlena berkata, dia sendiri tidak pernah bermimpi untuk menjadi tenaga pengajar yang mampu membantu melahirkan usahawan wanita dan memperkasakan golongan itu sekali gus membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Setelah sertai JPW saya dapat melangkah satu tapak ke hadapan iaitu daripada usahawan kepada tenaga pengajar. Kepuasan sebenar saya rasa apabila segala diajar itu dapat difahami pelajar.

"Pelajar ini akan saya pantau untuk lihat perkembangan mereka selepas kursus, sejauh mana mengaplikasi segala yang dipelajari untuk menjana pendapatan masing-masing. Ada pelajar saya telah berjaya miliki premis perniagaan sendiri.

"Peniaga dan usahawan dua benda berbeza. Di dalam kelas saya selalu pupuk semangat peserta sebagai seorang usahawan, pimpin dan bimbing mereka,” katanya.

Wanita gigih itu berkata, beliau juga akan melihat kecenderungan minat pelajarnya dan menyalurkan mereka kepada program bersesuaian supaya mendapat latihan serta pentauliahan sewajarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!