X

Kindly register in order to view this article
!

Lokman Adam mahu ketepi prosiding hina mahkamah

Lokman Noor Adam
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Lokman Noor memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah semasa pengurusan kes di sini hari ini, permohonan itu akan difailkan menjelang Jumaat depan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam mewakili pihak Peguam Negara memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan pindaan usul notis bagi prosiding komital itu kepada pasukan pembelaan pagi tadi.

Susulan itu Hakim Sequerah menetapkan 6 Disember bagi pengurusan kes.

Pada 22 Oktober lalu, Hakim Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 September.

Dalam permohonan itu, Peguam Negara memohon perintah supaya Lokman Noor Adam selaku responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Peguam Negara berkata, pada tarikh itu (25 September) responden dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi, Amhari Efendi yang merupakan bekas pegawai khas Najib kerana memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara berkata, beliau juga akan memainkan rakaman video berhubung temu bual itu pada pendengaran prosiding komital jika mahkamah memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding berkenaan.

Beliau berkata, pada hari yang sama, Lokman Noor telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.

"Objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh pada perbicaraan," kata Peguam Negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus