FAM hanya tunggu arahan FIFA

Insiden balingan suar antara penyokong kedua-dua pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa lalu.
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya menunggu arahan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya badan induk itu tidak berpuas hati dengan insiden kekecohan ketika perlawanan antara Malaysia dan Indonesia pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa lalu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tidak membuat sebarang tindakan buat masa ini memandangkan pegawai FIFA turut berada di stadium dan melihat insiden yang berlaku pada hari perlawanan tersebut.

“Kita sedang menunggu surat daripada FIFA. Pada hari perlawanan pihak FIFA juga ada bersama. Mungkin ada beberapa insiden yang terakam di kamera yang diteliti oleh FIFA.

Bagaimanapun, kami tidak pasti dan hanya menunggu surat daripada mereka.

“Namun, secara keseluruhannya tiada insiden besar berlaku yang mana membabitkan pergaduhan fizikal. Kecoh-kecoh seperti baling botol itu sukar untuk kita halang. Tembok tinggi mana sekalipun dibina mereka masih boleh baling-baling objek.

“Di pihak FAM, kami berterima kasih kepada pihak berkuasa yang bertindak mengawal insiden-insiden tersebut dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Balingan suar cemari aksi Harimau Malaya, Garuda

Penyokong Garuda, Harimau Malaya ditahan polis

Insiden kekecohan semasa perlawanan tersebut bermula apabila segelintir penyokong kedua-dua pasukan saling melakukan provokasi sebelum disusuli dengan adegan membaling botol dan suar.

Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menghalang insiden lebih buruk berlaku apabila sebahagian penyokong Indonesia diarahkan bergerak ke ruang atas stadium.

Dalam pada itu, Stuart memberitahu, pihaknya sedang menunggu laporan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berhubung kerosakan bahagian tempat duduk di stadium berkenaan.

“Kebiasaannya memang segala kos tersebut ditanggung oleh FAM. Namun, kita masih menunggu laporan penuh daripada pihak pengurusan stadium (PSM) dan selepas itu baru kita lihat apa yang boleh dibuat,” katanya.

Difahamkan, sebanyak 44 buah kerusi bernilai kira-kira RM11,000 dirosakkan penyokong Indonesia pada pertemuan itu yang menyaksikan Harimau Malaya melakar kemenangan 2-0.

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau garang jinakkan Garuda