Harimau garang jinakkan Garuda

Safawi menjaringkan dua gol untuk skuad negara malam ini.
A
A

HARIMAU Malaya meneruskan momentum kemenangan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila menumpaskan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Dua gol daripada penyerang sensasi negara, Muhammad Safawi Rasid meleburkan impian skuad Garuda untuk cuba melakar kejutan ke atas Malaysia.

Bagaimanapun, Indonesia yang bermain dengan taktikal bertahan pada separuh masa pertama nyata berjaya mengekang corak permainan yang cuba diatur Harimau Malaya.

Anak didik Yeyen Tumina itu juga mampu beberapa kali untuk mencemaskan gawang yang dikawal oleh Khairulazhan Mohd Khalid melalui beberapa serangan balas pantas.

Indonesia terlebih dahulu menguji gawang pasukan negara melalui percubaan Teuku Muhammad Ichsan pada minit ke-8 namun percubaannya melewati palang gol negara.

Malaysia cuba bertindak balas melalui sepakan penjuru Muhammad Safawi Rasid yang ditampan penjaga gol Indonesia, Muhammad Ridho pada minit ke-10.

Larian deras penyerang Garuda, Febri Hariyadi pada minit ke-19 hampir memberikan gol kepada pasukan pelawat, namun Khairulazhan pantas menampan bola tersebut sebelum dikeluarkan oleh Shahrul Saad untuk menyelamatkan gawang negara.

Tindakan berani Khairulazhan menyelamatkan bola daripada situasi bahaya itu bagaimanapun dibayar mahal apabila penjaga gol Selangor itu mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan digantikan oleh Mohd Farizal Marlias.

Gol yang ditunggu 70,000 penyokong Harimau Malaya muncul jua apabila sepakan percuma cantik Safawi pada minit ke-30 berjaya menewaskan Muhammad Ridho.

Bersambung separuh masa kedua, Harimau Malaya terus mendominasi perlawanan dan hampir menambah jaringan melalui Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-52, namun percubaannya tersasar ke kanan gol lawan.

Safawi terus cemerlang menambah derita skuad Garuda apabila meledak gol kedua pada minit ke-73 selepas bijak merampas bola daripada pertahanan lawan sebelum merembat deras menewaskan Ridho.

Indonesia berpeluang merapatkan kedudukan pada minit ke-83 selepas dihadiahkan sepakan penalti, namun Farizal Marlias cemerlang untuk menafikan sepakan Osas Marvellous Ikpefua.