Lelaki 14 rekod jenayah ditahan bersama dadah

Dadah yang ditemui dalam beg sandang milik suspek yang ditahan di hadapan sebuah kilang sawit di Padang Tengku di sini pagi tadi.
Dadah yang ditemui dalam beg sandang milik suspek yang ditahan di hadapan sebuah kilang sawit di Padang Tengku di sini pagi tadi.
A
A
A

LIPIS - Seorang penganggur yang memiliki 14 rekod jenayah lampau tidak pernah serik melakukan kegiatan tidak bermoral apabila sekali lagi dicekup kerana disyaki mengedar dadah di hadapan sebuah kilang sawit di Padang Tengku, di sini pagi tadi.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 31 tahun itu membawa penemuan dadah jenis heroin dengan anggaran berat 28.92 gram dan ganja 6.8 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan hampir RM1,000.

Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, berdasarkan rekod, suspek beralamat di Felda Chegar Perah Satu, di sini juga didapati pernah ditangkap dan dihukum atas kesalahan pecah rumah, mendatangkan kecederaan, memiliki dan menggunakan dadah.

"Penahanan suspek itu susulan tindakan anggota polis bertindak menahannya bagi tujuan pemeriksaan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

"Ketika diperiksa, suspek diminta menyerahkan beg sandang yang dibawa dan hasil pemeriksaan lanjut membawa penemuan dadah tersebut di dalam beg berkenaan," katanya.

Azly berkata, suspek ditahan dan dibawa ke balai dan hasil ujian saringan air kencing mendapatinya positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(B), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: