Johor turun harga hartanah kepada warga asing

Datuk Dr Sahruddin Jamal- Foto: Bernama
Datuk Dr Sahruddin Jamal- Foto: Bernama
A
A
A

KOTA ISKANDAR - Kerajaan negeri bersetuju menurunkan harga minimum perolehan hartanah buat warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 sebagai langkah efisien bagi mengurangkan lambakan hartanah di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, penurunan harga siling penjualan itu bagaimanapun akan dijalankan menerusi dua insentif bersifat kempen yang akan dilaksanakan bagi tempoh-tempoh tertentu.

"Insentif ini hanya ditawarkan kepada projek hartanah jenis bertingkat sahaja iaitu pangsapuri, kondominium, pangsapuri perkhidmatan dan Small Office Home Office (SOHO).

"Projek ini mestilah mematuhi prasyarat yang ditetapkan iaitu Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) sudah dikeluarkan melebihi tempoh sembilan bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Dr Sahruddin berkata, permohonan bagi pembelian aset itu boleh dikemukakan bermula daripada 1 hingga 31 Januari 2020 dengan mengemukakan dokumen senarai semak yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor.

Beliau yang juga ADUN Bukit Kepong berkata, insentif kedua pula adalah pelepasan hartanah lot Bumiputera kepada pembangunan jenis kediaman berharga RM700,000 ke atas.

Katanya, kadar permohonan pelepasan kali pertama dinaikkan daripada 30 peratus kepada 60 peratus manakala kadar permohonan pelepasan kali kedua dinaikkan kepada 30 peratus kepada semua baki unit masih ada.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga memanjangkan tempoh pembayaran caj gantian pelepasan lot bumiputera daripada 90 hari kepada 120 hari daripada tarikh surat pemberitahuan dikeluarkan," katanya.

Katanya, kedua-dua insentif berkenaan akan berlangsung dalam tempoh setahun bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2020.