30,000 pemilik akaun Sada terjejas

Zamri (tengah) menunjukkan notis gangguan bekalan air di beberapa kawasan yang akan tergendala selama 24 jam bermula malam esok.
Zamri (tengah) menunjukkan notis gangguan bekalan air di beberapa kawasan yang akan tergendala selama 24 jam bermula malam esok.
A
A
A

ALOR SETAR - Hampir 30,000 pemilik akaun Syarikat Air Darul Aman (Sada) di sekitar kawasan Kota Setar akan terjejas selama 24 jam bermula 7 Januari jam 9.00 malam sehingga 8 Januari jam 9.00 malam.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah, Zamri Yusuf berkata, perkara tersebut disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Daerah Kubang Pasu menjalani proses hentitugas bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penukaran “delivery valve” bagi pam air bersih No.9.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan pengguna yang dijangka terlibat dengan gangguan bekalan air agar dapat membuat persediaan awal dengan menyimpan air secukupnya dan menggunakan sumber tersebut dengan lebih effisien.

"Proses hentitugas ini dijangka akan mengakibatkan gangguan bekalan air kepada hampir 30,000 pemilik akaun bagi kawasan-kawasan di sekitar Daerah Kota Setar.

"Kerja-kerja ini perlu dilaksanakan bagi mewujudkan pam tunggu sedia (standby) untuk pam air bersih Bukit Tinggi.

"Hal ini perlu bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan selepas ini serta dapat meminimakan gangguan operasi loji (gangguan LRA tidak berjadual)," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Zamri berkata, Sada juga telah mengeluarkan notis pemakluman sejak 1 Januari yang lalu agar pengguna dapat membuat persiapan lebih awal.

Menurutnya, selepas kerja-kerja yang dijalankan tersebut siap sepenuhnya, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat bergantung kepada geografi lokasi dan altitud premis pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Sada telah melakukan persediaan awal dengan menyediakan perkhidmatan lori tangki bagi membantu pengguna-pengguna yang kritikal," katanya.

Tambah Zamri antara kawasan pertama yang terlibat adalah sepanjang jalan Sungai Mati ke Pekan Langgar, sepanjang jalan Titi Haji Idris ke Pekan Tanah Merah, Pekan Tanah Merah ke Masjid Pekan Pendang, sepanjang jalan Tobiar ke Kubur Panjang dan dari Kampung Alor Semela ke Simpang Empat Kangkong.

Selain itu, kawasan kedua turut terkesan adalah Simpan Empat Kangkong ke Kuala Sala, Simpang Empat Kangkong ke Jalan Batas Paip (Bernas), Simpang Teluk Bangan ke Kampung Tok Jering, Jalan Alor Mengkudu ke Kuala Kedah (Terminal Feri), Simpang Masjid Aman ke Jeragan (Mada), Simpang Masjid Aman ke Tesco Stargate, Pekan Simpang Kuala ke Pekan Tandop, Pekan Simpang Empat ke Kampung Selarong Kanan, Pekan Simpang Empat ke Kampung Selarong Kiri dan seluruh kawasan Kuala Sala dan tepi laut.