X

Kindly register in order to view this article
!

RM15 juta untuk Tahun Melawat Johor 2020

Dr Sahruddin Jamal
A
A

KOTA ISKANDAR - Kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan dana sebanyak RM15 juta kepada Tourism Johor sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Johor 2020 ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, jumlah pemberian dana itu merupakan yang tertinggi dalam sejarah berbanding RM3 juta hingga RM8 juta pada tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, peruntukan berkenaan akan memberi fokus kepada penambahbaikan infrastruktur pelancongan, aspek promosi dan penganjuran acara pelancongan.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah meningkatkan dan membangunkan kemudahan asas di destinasi pelancongan seluruh Johor dengan kos sebanyak RM1.3 juta.

“Kedua, mempromosi penganjuran acara pelancongan utama bertaraf domestik dan antarabangsa sepanjang tahun 2020 termasuk acara utama dengan kos sebanyak RM1.7 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Sahruddin berkata, peruntukan berkenaan juga adalah membabitkan kos bagi tujuan promosi menerusi beberapa siri jelajah dan misi jualan pelancongan luar.

”Perkara ini juga membabitkan usaha pengiklanan Tahun Melawat Johor 2020 di dalam dan di luar negara menerusi pemasaran digital dalam pelbagai medium seperti papan tanda iklan, laman sesawang, media sosial, paparan panel iklan di kawasan tumpuan ramai, penerbitan iklan di radio dan televisyen serta pengiklanan di kapal terbang, teksi dan bas dengan kos sebanyak RM8.2 juta.

“Aktiviti lawatan pengenalan produk atau 'fam trip' akan diperluaskan dan akan disertai oleh ejen-ejen pelancongan antarabangsa, 'media influencer' dan delegasi perniagaan menerusi peruntukan sebanyak RM600,000,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mewujudkan insentif pakej pelancongan terbaik kepada ejen-ejen pelancongan dengan peruntukan sebanyak RM400,000.

“Usaha ini adalah bagi menggalakkan usaha mempromosikan destinasi pelancongan terpilih secara konsisten kepada para pelancong bermalam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau juga memaklumkan, sebanyak RM400,000 akan disalurkan bagi penganjuran acara perniagaan seperti simposium, pameran dan persidangan bertaraf antarabangsa.

“Bagi menggalakkan kemasukan lebih ramai pelancong ke Negeri Johor, kerajaan negeri akan memperkenalkan laluan penerbangan yang baharu melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

“Laluan baharu tersebut merupakan tambahan kepada 11 penerbangan domestik dan tujuh penerbangan antarabangsa yang sedia ada,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!