Panggil mesyuarat berasingan: Hilman patut dipecat

Laporan Sinar Harian berkenaan sidang media diadakan Hilman selepas selesai mesyuarat malam tadi.
Laporan Sinar Harian berkenaan sidang media diadakan Hilman selepas selesai mesyuarat malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (MPPPKR) disarankan untuk mengambil tindakan tegas dengan memecat keanggotaan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Hilman Idham.

Naib Ketua AMK Malaysia, Thiban Subbramaniam berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan susulan tindakan Hilman memanggil mesyuarat berasingan tanpa persetujuan sah daripada Majlis Pimpinan Pusat AMK (MPPAMK) yang berlangsung malam tadi di Rumah Pemuda AMK di sini.

Menurutnya, menerusi mesyuarat itu Hilman turut menyatakan pendirian meneruskan perasmian Kongres Nasional AMK yang akan berlangsung di Melaka pada 5 Disember ini dengan menjemput perasmi lain.

"Saya meneliti kenyataan media yang dikeluarkan Hilman dan pendirian beliau jelas melanggar Peraturan Tetap AMK kerana tidak melalui persetujuan mesyuarat MPPAMK.

ARTIKEL BERKAITAN: AMK pertahan Dr Mahathir

"Tindakan beliau mengadakan mesyuarat berasingan juga adalah melampau dan tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hilman mengadakan Mesyuarat MPP AMK Malaysia bersama pimpinan AMK membabitkan seluruh cabang di Malaysia selama dua jam bagi mendengar pendirian rakan-rakan baik di peringkat nasional khususnya berkaitan perasmi Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR.

Perkara itu menjadi kontroversi selepas jemputan kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dibatalkan dan diganti dengan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

'Batal Azmin rasmi Kongres AMK perlihat PKR kini dilanda krisis'

Hilman dilaporkan berkata, Mohamed Azmin tetap akan merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di Melaka serta keputusan dibuat berdasarkan tradisi dan konvensyen parti sebelum ini.

Dalam pada itu Thiban memberitahu, kegagalan Himan menghadiri mesyuarat bulanan juga mencerminkan beliau seorang pemimpin yang tidak berdisiplin walaupun menang pada pemilihan parti yang lalu.

Katanya, perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu mengheret parti bertelingkah di media juga adalah tindakan yang sengaja dibuat untuk memburukkan imej parti sedangkan sudah ada saluran rasmi.

"Justeru, saya mencadangkan MPPPKR untuk mengambil tindakan tegas dengan melucutkan keanggotaan Hilman," katanya.