Presiden Sri Lanka lantik abang sendiri jadi PM

Gotabaya (kanan) melantik abangnya yang juga bekas Presiden sebagai Perdana Menteri baharu Sri Lanka. - Foto: Agensi
Gotabaya (kanan) melantik abangnya yang juga bekas Presiden sebagai Perdana Menteri baharu Sri Lanka. - Foto: Agensi
A
A
A

COLOMBO - Presiden baharu Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa hari ini menamakan abangnya sebagai Perdana Menteri negara itu.

Mahinda Rajapaksa, 74, yang merupakan Presiden sebanyak dua penggal dijangka mengangkat sumpah esok selepas Ranil Wickremesinghe meletak jawatan susulan kekalahan partinya pada Pilihan Raya Presiden minggu lalu.

Jurucakap pentadbiran baharu itu berkata, Mahinda akan mengangkat sumpah di hadapan adiknya, Gotabaya, 70.

"Perdana Menteri akan mempunyai Kabinet yang dilantik tidak lama selepas beliau mengangkat sumpah jawatan tersebut," menurut Vijayananda Herath.

Ketika Mahinda menjadi Presiden, Gotabaya merupakan Setiausaha Pertahanan sehingga dekad abangnya tamat pada Januari 2015.

Dengan Mahinda mengambil alih sebagai Perdana Menteri, Sri Lanka bakal menyaksikan dua beradik menerajui negara buat kali pertama.

Sementara itu, Wickremesinghe, 70, memberitahu beliau menghormati mandat yang diterima Presiden dan memutuskan untuk membenarkan Gotabaya membentuk kerajaan baharu.

"Wickremesinghe akan mengadakan pertemuan terakhir dengan Kabinet serta pimpinan lain daripada gabungannya sebelum mengumumkan mengenai pengundurannya kepada rakyat," jelas jurucakap, Sudarshana Gunawardana. - Agensi

Artikel Berkaitan: