Saya akan tumpu proses pemulihan, kata Jin Wei

Goh Jin Wei -Foto Bernama
Goh Jin Wei -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei kini menjalani latihan ringan tetapi tidak tergesa-gesa untuk kembali bersaing.

Pemain berusia 19 tahun itu berkata, beliau tidak bimbang mengenai penurunan ranking kerana yang lebih penting ialah untuk memastikan proses pemulihan yang betul.

"Saya tidak peduli dengan ranking (pada masa ini). Saya tahu ia akan jatuh banyak kerana saya memutuskan untuk menjalani pembedahan. Saya harap dapat pulih pada masanya.

"Sekiranya saya menyertai kejohanan, saya akan memastikan saya 100 peratus sihat. Sekarang saya tidak pasti sama ada saya boleh bermain tapi nama saya ada dalam semua senarai," katanya ketika ditemui selepas sidang media Masters Malaysia 2020 di sini hari ini.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang kini menduduki ranking ke-41 berkata, beliau memulakan latihan ringan minggu lepas selepas mendapat kebenaran doktor.

"Saya rasa lebih baik selepas pembedahan dan rasa seperti orang biasa. Ambil masa beberapa minggu juga untuk saya kembali menjalani latihan biasa," tambahnya.

Juara remaja dunia dua kali itu mengalami penyakit perut sejak Januari dan pada Oktober berjaya menjalani pembedahan ‘colectomy’, prosedur untuk mengeluarkan sebahagian daripada kolon, dalam usaha untuk menyelamatkan kerjayanya.

Juara bertahan Sukan SEA itu telah digugurkan daripada skuad ke Filipina bulan depan dan juga tidak akan meneruskan usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik pertamanya di Tokyo selepas tidak menyertai beberapa kejohanan. - Bernama

Artikel Berkaitan: