D-8 sasar tingkat sektor pelancongan halal: Menteri

Mohamaddin - Foto Bernama
Mohamaddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha akan dilakukan bagi meningkatkan lagi kerjasama dalam pelancongan terutama dalam sektor pelancongan halal, kalangan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) dengan penduduk Islam yang besar di bawah payung D-8.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mempengerusikan Mesyuarat Kedua Menteri-Menteri D-8 mengenai Kerjasama Pelancongan di sini hari ini berkata, pandangan dikongsi tentang bagaimana untuk mengukuhkan strategi pembangunan pelancongan khususnya bagi memajukan pasaran pelancongan halal.

“Kami akan berusaha untuk terus membangunkan pelancongan halal kalangan kami yang berpeluang meraih manfaat besar daripada sektor ini,” katanya kepada pemberita pada akhir mesyuarat itu.

“Bersama-sama dengan matlamat yang betul dan memanfaatkan kekuatan kami, kami akan terus meneroka pasaran pelancongan halal yang semakin berkembang,” kata menteri berkenaan.

Dibentuk pada 1997 untuk membangunkan hubungan ekonomi kalangan anggotanya, Kumpulan D-8 Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

“Sangat penting bagi anggota D-8 terus kekal aktif, seterusnya meningkatkan lagi kerjasama kami dan mengguna pakai penyelesaian inovatif dalam usaha kami memperoleh nilai yang lebih baik untuk kemampanan dan kemajuan berterusan industri pelancongan,” katanya terdahulu dalam ucapan pembukaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: