Kereta terbang tak dibenarkan terbang esok

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, sesi pandu uji kereta terbang yang dikhabarkan berlangsung esok akan dibuat secara tertutup tanpa penglibatan media.
Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, sesi pandu uji kereta terbang yang dikhabarkan berlangsung esok akan dibuat secara tertutup tanpa penglibatan media.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menegaskan pihaknya masih belum memberi kebenaran untuk sesi pandu uji super dron atau kereta terbang UAS E-Hang 216 (EH216) yang dijangka dilakukan di Subang.

CAAM dalam satu kenyataan menyatakan, lokasi sesi tersebut berada berhampiran dengan laluan penerbangan komersial dan trafik helikopter.

Menurutnya, ia juga berada dalam kawasan Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang yang berada di bawah pemantauan ketat Kawalan Trafik Udara.

“Tambahan pula, EH216 hanya menyerahkan Permit Penerbangan Khas (SFP) oleh Civil Aviation Administration of China yang terhad untuk menjalankan penerbangan penyelidikan dan pembangunan di Grand World Science Park, Guangzhou.

“CAAM juga sedang menyiasat penerbangan demonstrasi tidak sah melibatkan EH216 pada 15 November lepas di lokasi sama dalam Lapangan Terbang Subang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, CAAM menyokong pembangunan industri aeroangkasa dalam negara, namun penerbangan pandu uji dan demonstrasi perlu dilakukan mengikut peraturan bagi memastikan keselamatan terjamin.

“CAAM juga ingin menyatakan bahawa kami terbuka untuk mempertimbangkan permintaan untuk penerbangan ujian EH216 di lokasi yang sesuai dan dengan sokongan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, sesi pandu uji kereta terbang yang dikhabarkan berlangsung esok akan dibuat secara tertutup tanpa penglibatan media.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, undangan hanya diberi kepada wakil rakyat kerajaan dan Ahli Parlimen pembangkang untuk menyaksikannya.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu juga tidak mendedahkan lokasi ujian tersebut diadakan bagi menghormati permintaan pemaju projek berkenaan.

“Sesi pandu uji ini adalah hasrat pemaju projek kereta terbang dan mereka enggan mendedahkannya kepada orang ramai. Tambahan, kita hanya membantu mereka.

"Saya tidak boleh dedahkan perincian sesi pandu uji ini kerana menghormati permintaan mereka (pemaju) selain khuatir liputan yang akan dibuat sekiranya kereta berkenaan gagal terbang ketika sesi pandu uji," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN Sesi pandu uji kereta terbang pertama negara Khamis ini