Tetap had umur kahwin: Tujuh negeri mungkin belum sedia

Mujahid (kanan) mengadakan sidang akhbar selepas melancarkan buku Konsep Rahmah Satu Pengenalan pada Retreat Semakan Akhir Tahun 2019 Pelan Intervensi Kluster Agensi Agama Persekutuan 2019-2025 hari ini. - Foto: Bernama
A
A

BUTTERWORTH - Tujuh negeri yang belum bersetuju untuk meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan kepada 18 tahun berkemungkinan masih belum bersedia berbuat demikian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini pihaknya mengadakan perbincangan dengan semua Majlis Agama Negeri untuk meyakinkan mereka mengenai keperluan mengehadkan perkahwinan bawah umur, namun beberapa negeri didapati belum mahu melaksanakannya.

"Kami akan terus berusaha memberi penjelasan kepada tujuh negeri terbabit termasuk membincangkannya dalam siri pertemuan pada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam tahun depan. Ada beberapa platform yang boleh digunakan untuk kita berhubung dengan negeri-negeri berkenaan.

"Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam mengadakan pertemuan tiga kali setahun dengan dihadiri ketua menteri, menteri besar, Exco agama dan Yang Dipertua Majlis Agama. Majlis ini dipengerusikan perdana menteri dan saya selaku timbalan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sekretariat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan 10 Siri Buku Rahmah di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat campur tangan politik di sesetengah negeri yang mempengaruhi kepada persetujuan itu, Mujahid berkata, pihaknya tidak tahu mengenainya namun mengakui lebih mudah berbincang dengan negeri yang sama pentadbirannya dengan kerajaan Persekutuan berbanding ditadbir pembangkang.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada persidangan Dewan Rakyat berkata, kementeriannya dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

Dr Wan Azizah turut memaklumkan setakat ini hanya lima negeri yang telah bersetuju untuk meminda Enakmen atau Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan.

Negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak, manakala Selangor telah meminda enakmen itu dan Wilayah Persekutuan sedang dalam proses pindaan. - Bernama