Laut China Selatan perlu kekal selamat: Mat Sabu

Mat Sabu
A
A

BANGKOK - Perairan Laut China Selatan harus dijadikan satu kawasan untuk memperkukuh kerjasama, meningkatkan kesalinghubungan dan mengeratkan hubungan antara komuniti serantau, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, Laut China Selatan tidak harus menjadi tempat pertelagahan dan pertengkaran antara kuasa-kuasa besar dunia sebaliknya perairan itu harus kekal selamat, terbuka dan bebas dilayari secara komersial oleh mana-mana pihak.

“Laut China Selatan tidak seharusnya dilihat sebagai punca konflik antara negara. Sebarang tindakan yang menggugat keamanan dan kestabilan di perairan itu tidak akan mendatangkan faedah kepada mana-mana pihak sebaliknya ia merugikan kita (negara anggota ASEAN) yang berada di kawasan ini.

“Semua negara kuasa besar harus menghormati kedamaian di Laut China Selatan dan memastikan laluan perdagangan itu bebas (kehadiran) kapal-kapal perang dan tidak mewujudkan keadaan tegang yang akan memberi ancaman kepada mana-mana negara di kawasan itu,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohamad berkata, diplomasi pertahanan dan perbincangan mengikut undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut Antarabangsa 1982 (UNCLOS) merupakan jalan penyelesaian terbaik.

“Semua pihak perlu mengelak daripada mejalankan sebarang aktiviti atau tindakan yang boleh merumitkan keadaan sedia ada. Selain jtu, kehadiran kapal-kapal perang juga boleh menyumbang kepada keadaan yang tegang dan risiko konflik antara pihak-pihak berkaitan.

“Untuk menghadapi isu pertikaian Laut China Selatan, kesemua 10 anggota ASEAN perlu senada berdasarkan Kepusatan ASEAN dan kepentingan bersama ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia secara konsisten di dalam forum serantau dan antarabangsa telah mengetengahkan konsep-konsep kawal diri dan tiada ketenteraan pihak-pihak berkaitan di Laut China Selatan supaya tidak menggunakan kekerasan atau ancaman kekerasan.

Ditanya perkembangan terkini usaha China dan ASEAN untuk mewujudkan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan, Mohamad berkata, ASEAN dan China telah mengadakan rundingan substantif melalui Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-China bagi Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku (JWG-DOC) bermula tahun lepas.

Beliau berkata rundingan tersebut telah membawa kepada selesainya Bacaan Pertama Teks Rundingan Draf Tunggal CoC semasa JWG-DOC pada Julai tahun ini di Pulau Pinang, Malaysia dan ia merupakan salah satu pencapaian signifikan ke arah mewujudkan CoC substantive dan efektif.

Rundingan seterusnya telah bermula pada Oktober lepas di Da Lat, Vietnam.

“Menerusi CoC, negara-negara ASEAN dan China bertekad untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk membina dan meningkatkan keyakinan terutamanya antara negara-negara penuntut di Laut China Selatan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad telah menyatakan pandangan agar China terus berkongsi kekayaan dengan negara anggota ASEAN agar membangun dan maju bersama.

Dalam pertemuan dengan Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe di luar Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di sini baru-baru ini, beliau berkata, kekayaan dan rezeki China yang muncul sebagai sebuah negara kuasa besar dalam bidang ekonomi dan pertahanan telah melimpah ruah harus dikongsi bersama

“Jangan ulang perangai kuasa-kuasa besar dahulu yang tidak membawa rahmat kepada (negara) jiran-jiran sebaliknya menekan mereka,” katanya. - Bernama