Penetapan harga petrol: Beza hari sahaja - Ahmad Maslan

Ahmad (tengah, duduk) bersama penduduk di Kampung Parit Haji Ahmad Sanglang Benut
Ahmad (tengah, duduk) bersama penduduk di Kampung Parit Haji Ahmad Sanglang Benut
A
A
A

PONTIAN - Ahli Parlimen Pontian menyindir kerajaan PH yang menggunakan makanisme penetapan harga minyak petrol secara mingguan seperti kerajaan BN terdahulu.

Katanya, PH perlu mencari idea lain kerana langkah terbaharu mereka ini kelihatan sama sahaja seperti dilakukan kerajaan terdahulu.

“Cuma bezanya hari diumumkan harga runcit minyak petrol iaitu hari Jumaat. Dulu BN umum hari Rabu.

“Kalau mereka ( PH) buat makenisme penurunan harga runcit minyak petrol hari-hari, barulah nampak berbeza,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Haji Ahmad Sanglang, Benut, hari ini.

Bekas Timbalan Menteri (Industri), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini menegaskan, penurunan harga petrol disebabkan kejatuhan harga minyak dunia sejak bulan November dan Disember lalu.

“Kerajaan PH berbangga mereka turunkan harga petrol kepada RM1.93. Patutnya mereka tidak boleh berbangga sebab itu bukan kehebatan kerajaan PH,” katanya.

Beliau turut berharap harga barang juga akan turun selepas petrol turun pada 5 Januari lalu.

“Kalau tidak turun juga rakyat perlu buat aduan kepada peniaga-peniaga tidak beretika ini yang berpunca daripada penguatkuasaan yang lemah,” katanya.

Artikel Berkaitan: