LZS bantu 65,000 asnaf, fakir miskin tahun ini

Mohd Aqmal (kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian kepada seorang penerima zakat LZS pada Program Ziarah Agensi Lembaga Zakat Selangor bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Cheras di daerah Hulu Langat di sini hari ini.
A
A

HULU LANGAT - Seramai 65,000 golongan asnaf, fakir dan miskin dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) sepanjang tahun ini.

Ketua Operasi Agihan Hulu Langat LZS, Mohd Aqmal Jais berkata, daripada jumlah itu seramai 9,197 penerima adalah dari Hulu Langat.

Menurutnya, jumlah tersebut dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa bergantung kepada aduan dan juga kerjasama pihak Skuad Jejak Kemiskinan yang diwujudkan di setiap daerah, Penolong Amil Kariah, pemimpin setempat serta masyarakat kepada LZS.

"Sehingga kini kita menerima kerjasama yang amat baik daripada mereka dan sejurus aduan diterima, LZS komited turun padang bagi membantu golongan ini.

"Sumbangan ini juga antara usaha LZS memastikan golongan terbabit tidak tercicir dan sentiasa disantuni," katanya pada Program Ziarah Agensi Lembaga Zakat Selangor bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Cheras di Hulu Langat di sini hari ini.

Menerusi progam berkenaan, LZS bersama TNB menziarahi 10 rumah asnaf di sekitar daerah berkenaan dan turut menyampaikan sumbangan kepada pihak terlibat.

Mohd Aqmal berkata, aktiviti rutin yang bersifat turun padang itu bertujuan menyelami kelangsungan hidup asnaf selain melihat keperluan mereka.

Katanya, langkah ini juga membuka ruang buat LZS untuk mendekati golongan itu selain mendapatkan maklum balas secara terus berhubung agihan zakat di Selangor.