Cuba bawa masuk sarang burung walit dari Filipina

Penolong Pegawai Penguatkuasa Maqis Butterworth, Sukri Mamat menunjukkan sarang burung walit yang dirampas.
Penolong Pegawai Penguatkuasa Maqis Butterworth, Sukri Mamat menunjukkan sarang burung walit yang dirampas.
A
A
A

BUTTERWORTH - Cubaan pasangan suami isteri membawa masuk sarang burung walit seberat 11 kilogram dari Filipina dianggarkan bernilai RM8,800 gagal apabila ia ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di sini semalam.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, usaha membawa masuk sarang burung terbabit dibuat melalui perkhidmatan pos dari Filipina tanpa sebarang dokumen sah seperti permit import dan sijil kesihatan dari negara asal.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan jam 12 tengah hari itu mendapati sarang burung walit yang tiba di Pejabat Pos Bukit Mertajam turut tercemar dan berbau busuk.

"Perbuatan mengimport sarang burung walit tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3) akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, larangan pengimportan sarang burung yang tercemar adalah bagi menghalang risiko penyakit selesema burung iaitu penyakit berjangkit ke negara ini bagi menghalang sebarang situasi yang boleh menjejaskan industri penternakan burung dalam negara sekiranya tersebar.

Zarina berkata, virus iaitu avian influenza (AI) yang biasanya boleh berjangkit kepada burung, kadang-kala kepada babi, namun jarang berlaku kepada kuda dan manusia.

"Kita akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah dan mikroorganisma yang diimport ke Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan," katanya.

Artikel Berkaitan: