X

Kindly register in order to view this article
!

Suami pukul kepala isteri guna topi keledar dijel 5 tahun

Tertuduh, Mohd Shaiful Afeezan Mohd Ali mengaku bersalah memukul kepala isterinya menggunakan topi keledar ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memukul kepala isteri menggunakan topi keledar sehingga cedera.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Mohd Shaiful Afeezan Mohd Ali, 36, mengaku bersalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan (Akta 574).

Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja di sebuah kilang simen di Hulu Terengganu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Norizan Hussin, 33, dengan memukul kepalanya menggunakan topi keledar sehingga mengalami kecederaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lubuk Batu, Felda Bukit Bading, Ajil, Hulu Terengganu kira-kira jam 9 malam pada 28 Oktober lalu.

Dengan itu, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula dia boleh dikenakan hukuman penjara dua kali ganda maksimum jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah di hadapan Hakim Nooriah Osman manakala tertuduh diwakili peguam bela Che Amir Che Musa dari Tetuan Mohd Hayyatuddin & Co.

Berdasarkan fakta kes pada hari kejadian, berlaku pertengkaran mulut di antara pasangan suami isteri itu berpunca mangsa enggan menyerahkan wang kerana tertuduh mahu membeli dadah.

Setelah tidak mendapat wang seperti yang diminta tertuduh bertindak memukul kepala isterinya dengan menggunakan topi keledar dan seterusnya menyepak belakang badan mangsa.

Akibat perbuatan itu mangsa mengalami sakit-sakit di bahagian belakang badan dan kepala serta menyebabkan kedua-dua belah mata lebam sebelum membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap jam 2 pagi pada 29 Oktober lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus