Kecoh wakil rakyat BN bergaduh di lobi Parlimen

Tajuddin Abdul Rahman (kiri) dan Ismail Mohamed Said bertikam lidah di lobi Parlimen hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Suasana di lobi Parlimen kecoh apabila dua Ahli Parlimen UMNO bertengkar sehingga mengeluarkan perkataan kurang sopan.

Pertengkaran itu melibatkan ​​​​​​​Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) ketika keluar dari Dewan Rakyat dengan k​​​​​​​edua-dua wakil rakyat itu saling cabar mencabar dengan kata-kata kasar.

"MP (Ahli Parlimen) Barisan (BN) lama, bodoh, stupid," kata Ismail menyebabkan Tajuddin mencabar Ismail dengan berkata: "Kalau berani datanglah sini".

Ismail kemudian menghampiri Tajuddin sebelum dihalang oleh pengawal keselamatan Parlimen.

Pertengkaran berterusan dengan Ismail menyebut mengenai gambar anak perempuannya sakit yang didakwa ditularkan oleh Tajuddin.

Ia berlarutan sehingga di lorong laluan ke bangunan Menara Parlimen sebelum Tajuddin kelihatan berjalan ke Menara Parlimen.

Ismail yang kemudian ke lounge makan ditenangkan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Ismail sempat berhenti untuk menjelaskan kepada media sebab tercetus pergaduhan itu.

"Gambar kawan-kawan (termasuk Ahli Parlimen UMNO) pergi ziarah anak saya (sakit) dijadikan isu, kata saya buat pakatan menyokong pemimpin yang lain," katanya.

Ismail yang dipeluk Annuar kemudian terus berjalan ke Menara Parlimen.

Tajuddin yang kembali ke lobi beberapa minit kemudian berkata kepada media bahawa perkara tersebut telah selesai dan menyifatkan ia adalah salah faham.

"Ia salah faham di antara rakan. Ini hal rumah tangga. Kenapa kamu semua berminat?”

"It’s resolved (ia telah selesai)," katanya. - Bernama