Sultan Kelantan rasmi Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai

Sultan Muhammad V berkenan melihat contoh bangunan Hospital Sultan Ismail Petra di sini hari ini.
A
A

KUALA KRAI - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan merasmikan Hospital Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Cik Puan Sofie Louise Johansson.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hospital ini menelan belanja sebanyak RM286 juta di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Menurutnya, pembinaan telah bermula pada Mei 2014 dan siap sepenuhnya Mei 2018. Ia beroperasi sepenuhnya pada September 2018 dan menempatkan 268 katil.

"Hospital ini merupakan hospital pakar yang kedua terbesar di Kelantan dan berharap agar Hospital Sultan Ismail Petra ini akan memberi manfaat kepada rakyat di Kuala Krai khususnya di Kelantan amnya.

"Ia juga akan meningkatkan taraf kesihatan penduduk serta memberi kesan positif kepada ekonomi setempat seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya penduduk di luar bandar.

"Terima kasih juga kepada Kementerian Kerja Raya dan semua agensi pelaksana yang memberi komitmen tinggi dalam memastikan hospital ini berjaya direalisasikan," katanya.

Sultan Muhammad V berkenan menandatangani buku tetamu.
Sultan Muhammad V berkenan menandatangani buku tetamu.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon dan Setiausaha Bahagian Kanan (Pembangunan), Datuk Ramlan Harun.

Majlis ini juga turut dihadiri lebih 500 tetamu termasuk wakil jabatan dan agensi termasuk rakyat setempat.

Berkonsepkan 'Hospital Di Dalam Taman', hospital ini dibangunkan atas tapak seluas 40 hektar terletak di lot 7777, Mukim Kuala Pahi sejauh lima kilometer dari Hospital Kuala Krai lama.