[VIDEO] Sultan Nazrin rasmi Kem Batalion 3 PGA Bidor

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormatan pada Majlis Perasmian Kem Batalion 3 PGA Bidor di Bidor, Perak, pada Rabu. - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormatan pada Majlis Perasmian Kem Batalion 3 PGA Bidor di Bidor, Perak, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

TAPAH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, dekat sini pada Rabu.

Keberangkatan tiba baginda sekitar jam 9.36 pagi itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan lafaz perasmian Kem Batalion 3 PGA Bidor serta menandatangani plak perasmian.

Baginda sebelum itu memeriksa kawalan kehormat dan turut menyaksikan aksi payung terjun, persembahan Lagenda Perang Senoi Praaq dan deklamasi sajak bertajuk Warisan Peribumi Pertiwi.

Selesai perasmian, Sultan Nazrin berkenan melawat pameran sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Sementara itu, Acryl Sani dalam ucapannya berkata, proses menaik taraf Batalion 3 PGA telah dimulakan pada 2008 secara dua peringkat membabitkan peruntukan keseluruhan RM322 juta.

Menurutnya, fasa pertama siap pada Ogos 2011 membabitkan kemudahan dewan rekreasi, lapang sasar, sub-station Tenaga Nasional Berhad (TNB), loji rawatan kumbahan, 32 unit banglo kelas C, D dan E serta 173 unit rumah teres kelas F.

"Fasa kedua menaik taraf kem ini selesai sepenuhnya pada Mei 2012 dengan pelbagai kemudahan iaitu Blbalai tabik, drillshed, padang kawad, kafeteria, bengkel komunikasi, bangunan pentadbiran, Pejabat Cawangan Bekalan dan Pejabat Kompeni.

"Turut dilengkapi Pejabat Cawangan Pengangkutan, Pejabat Cawangan Persenjataan, rumah

Perkep, bangunan kedai, klinik, dewan makan, litar rentas halangan, tabika, 429 unit kuarters kelas F, bengkel penyelenggaraan dan pembaikan serta padang permainan," katanya.

Beliau berkata, pembinaan kemudahan-kemudahan di kem itu adalah bukti komitmen tinggi kerajaan dalam menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkasakan lagi pelan keselamatan bagi melindungi rakyat serta menjaga keamanan tanah air.

Katanya, selain menjadi mercu kebanggaan, prasarana serta kelengkapan yang terdapat di kem itu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, sekali gus meningkatkan moral warganya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

"Usaha ini dapat memastikan Kem Batalion 3 PGA ini dapat menjalani proses transformasi dalam pembangunan infrastrukturnya seiring dengan perubahan zaman.

"Adalah diharapkan seluruh warga Batalion 3 akan terus menabur khidmat dengan profesional dan ikhlas demi nusa dan bangsa tercinta ini," katanya.

Bangunan Kem Batalion 3 PGA pada awalnya merupakan pentadbiran ibu pejabat Kompeni Batalion 20 Pasukan Polis Hutan (PPH).

Berikutan pengecilan dan penggabungan Batalion-Batalion PPH di seluruh Malaysia, pada Januari 1993, Batalion 20 PPH telah diubah menjadi Batalion 3 PPH yang melibatkan pertukaran 'Beret Merah Maroon' kepada 'Beret Biru'.

Setelah itu, pada November 1997 nama Pasukan Polis Hutan (PPH) telah ditukar kepada Pasukan Gerakan Am (PGA).

Walaupun Batalion 3 PGA yang majoritinya terdiri daripada orang asli Skim Perkhidmatan Tertutup (Senoi Praaq), tetapi telah menunjukkan taat setia kepada pasukan serta berjaya meningkatkan prestasi kerja dan cekap dalam menjalankan pelbagai tugas yang dipertanggungjawabkan.