'Kami hanya buat liputan, bukan mahu cetuskan provokasi' - Abbe Hae

KOTA BHARU - "Kami hanya buat liputan, bukan mahu mencetuskan provokasi."
Demikian penegasan aktivis masyarakat, Abbe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan yang menjelaskan tujuan beliau bersama beberapa rakan turun ke bandar ini pada Jumaat lalu bagi meninjau kehadiran warga asing termasuk etnik Rohingya.
Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan itu berkata, tinjauan berkenaan dilakukan secara berjalan kaki di beberapa lokasi sekitar bandar ini, termasuk Jalan Dato Pati dan Pasar Pokok Pinang.
Menurutnya, sebelum memulakan tinjauan di Dataran Masjid Jamek Muhammadi, beliau terlebih dahulu memberi penerangan kepada rakan-rakan yang menyertainya supaya tidak melakukan provokasi atau menyentuh mana-mana individu.
"Tujuan kita adalah untuk membuat liputan tentang kebanjiran warga asing termasuk etnik Rohingya.
"Saya sudah ingatkan rakan-rakan supaya tidak membuat sebarang provokasi dan tidak menyentuh sesiapa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Abbe Hae mendakwa beliau bersama 15 individu lain ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu.
Beliau mendakwa, mereka turut menjalani proses kawad cam dan pengambilan cap jari sebelum dibebaskan pada Ahad.

Abbe Hae memberitahu, ketika menjalankan tinjauan di Jalan Dato Pati, beliau mendakwa ternampak seorang pekerja yang sedang menebar roti canai di sebuah kedai melarikan diri selepas melihat kumpulan mereka.
Katanya, pekerja itu meninggalkan tempat memasak tanpa memadamkan api dapur, sebelum beliau masuk ke premis berkenaan untuk bertanyakan perkara itu kepada pemilik kedai.
"Wanita itu memaklumkan kepada saya bahawa pekerjanya ialah warga Rohingya. Saya menasihatinya supaya mengambil pekerja tempatan dan bukannya warga Rohingya.
"Saya bercakap dengan baik, tidak menggunakan bahasa kasar. Saya juga menunjukkan akta berkaitan untuk memaklumkan bahawa tindakan undang-undang boleh dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Beliau kemudian meneruskan perjalanan ke Pasar Pokok Pinang dan mendakwa melihat ramai warga asing meninggalkan kawasan berkenaan ketika kumpulannya tiba, manakala beberapa yang lain masih berada di situ untuk membeli-belah.
Abbe Hae turut mendakwa terdapat longgokan barangan perniagaan yang ditinggalkan di sekitar lorong pasar berkenaan, sebelum beliau bertegur sapa dengan beberapa peniaga tempatan.
Dalam tinjauan sama, beliau berkata, turut menegur beberapa lelaki yang dipercayai warga Bangladesh di sebuah premis terbuka berhampiran pasar itu.
Beliau turut menasihati mereka supaya bekerja dengan baik dan mencari rezeki untuk menyara keluarga di negara asal, selain mengingatkan supaya tidak menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia.
"Saya berpesan kepada mereka supaya bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Saya yakin mereka mempunyai permit kerana mereka tidak melarikan diri ketika ditegur," katanya.
Abbe Hae turut mendakwa menegur seorang wanita yang bekerja di sebuah kedai berhampiran berhubung perbezaan antara papan tanda premis dengan aktiviti perniagaan yang dijalankan.
Katanya, beliau memaklumkan perkara itu secara baik dan mengingatkan wanita berkenaan bahawa perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang sebelum beredar untuk meneruskan perjalanan ke Tanah Merah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

