'Kaki kiri Safawi cukup bahaya'

Pengendali sementara Indonesia, Yeyen Tumena mengakui bakat luar biasa yang dimiliki pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid. - FOTO ZAHID IZZANI
Pengendali sementara Indonesia, Yeyen Tumena mengakui bakat luar biasa yang dimiliki pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

PENGENDALI sementara Indonesia, Yeyen Tumena mengakui bakat yang dimiliki pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid adalah sangat luar biasa.

Pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Safawi memastikan kemenangan skuad Harimau Malaya dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-29 dan ke-72 sekali gus merangkul kemenangan ketiga daripada lima perlawanan dan memacu Malaysia ke tempat kedua dengan sembilan mata.

"Saya sudah melihat dia (Safawi) semasa Sukan Asia tahun lalu di Indonesia. Dia bermain bagus dan berjaya mencipta gol semasa menentang Korea Selatan dan dari situ saya lihat dia sebagai pemain yang baik bila bola di kakinya.

"Kaki kirinya sangat bahaya, itu satu bakat yang luar biasa buat Malaysia," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.

Mengulas tentang kekalahan skuad Garuda, Yeyen berkata, pemainnya gagal memanfaatkan peluang dan dua gol yang dihasilkan Malaysia adalah 'hadiah' daripada anak didiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau garang jinakkan Garuda

Apa pun, beliau tetap memuji pemainnya kerana kerja keras dan berusaha bermain mengikut taktikal yang diberikan biar pun keputusan tidak memihak pasukannya.

"Saya ucapkan selamat buat Malaysia yang menguasai permainan biar pun kita memiliki banyak peluang dan bergerak lebih efektif.

Artikel Berkaitan:

"Tentang kegagalan penalti itu, bagi saya semua pemain boleh gagal melakukannya. Lionel Messi... Diego Maradona pun pernah gagal. Kalau hendak kata penalti itu detik kebangkitan, saya setuju. Apa pun itu pertandingan dan keputusan 90 minit itu sudah ada dan kita tak boleh mengubahnya," katanya.

Sementara itu, pemain penyerang, Febri Hariyadi berkata, pemain sudah bekerja semaksimum mungkin, tetapi keputusan tidak memihak kepada mereka.

"Tahniah kepada Malaysia menang perlawanan itu. Kita banyak peluang, tapi gagal manfaatkannya," katanya.

Kekalahan skuad Garuda itu sekali gus hampir pasti menutup peluang mereka layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China.