Tanah runtuh: Pemilik kedai, wanita mengandung nyaris maut

Keadaan kedai yang telah menggelongsor ke belakang akibat tanah runtuh di Jalan Mutiara Emas 5/15 Taman Mount Austin di sini pagi tadi.
Keadaan kedai yang telah menggelongsor ke belakang akibat tanah runtuh di Jalan Mutiara Emas 5/15 Taman Mount Austin di sini pagi tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri dan seorang wanita mengandung terselamat apabila sebuah kedai makan yang dibina di kawasan tebing Taman Mount Austin di sini hampir musnah dalam kejadian tanah runtuh pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II, Kamarulzaman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di Jalan Mutiara Emas 5/15 itu pada jam 8 pagi dan sembilan anggota dengan bantuan sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, kesemua mangsa telah diselamatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri berusia lingkungan 50-an yang juga pemilik kedai dan seorang pelanggan wanita berusia 36 tahun.

“Wanita yang mengandung dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata, beberapa pemeriksaan di kawasan runtuhan juga turut dijalankan bagi mengenal pasti keadaan dan struktur tanah di kawasan berkenaan.

“Kita lakukan beberapa pemeriksaan untuk mengenal pasti keadaan kawasan berhampiran bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

“Sebab jika ada pergerakan tanah, kita boleh ambil langkah awal dengan meminta penduduk berhampiran untuk ke kawasan yang lebih selamat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.50 pagi.