35 rumah atas air terbakar

A
A

SANDAKAN - Sebanyak 35 rumah di sebuah perkampungan atas air di Kampung Bungaya, Batu Sapi dekat sini, musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Pusat Gerakan Operasi JBPM negeri menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 tengah malam dan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan bergegas ke tempat kejadian.

"Operasi melibatkan kawasan terjejas seluas 1.5 ekar (0.6 hektar), kebakaran dapat dikawal pada jam 2.35 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 5.19 pagi.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian dalam siasatan," kata kenyataan itu.

Dalam operasi tersebut, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tidak sedarkan diri semasa menjalankan tugas mengawal keadaan.

Beliau telah diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini dan dilaporkan dalam keadaan stabil. - Bernama