Uji diri atau tempah maut?

Kehadiran dua peluncur ombak di Pantai Pulau Kekabu mencuri tumpuan pengunjung.
Kehadiran dua peluncur ombak di Pantai Pulau Kekabu mencuri tumpuan pengunjung.
A
A
A
MARANG - Kehadiran dua peluncur ombak di Pantai Pulau Kekabu selepas ribut Tropika Pabuk menjauhi kawasan perairan negara mencuri tumpuan pengunjung pantai itu, petang semalam.

Namun, dua peluncur amatur tersebut gagal beraksi dengan baik malah tidak mampu untuk 'menakluki' ombak setinggi kira-kira satu meter walaupun beberapa kali melakukan percubaan.

Pengunjung pula menyifatkan tindakan peluncur ombak itu seperti menempah maut kerana tiada anggota pengawal keselamatan pantai bertugas di pantai peranginan itu malah di situ juga pernah berlaku kejadian meragut nyawa.

Abu Bakar Ali, 60, berkata, aktiviti meluncur ombak itu menarik perhatian ramai tetapi ia boleh mendatangkan bahaya kepada peluncur jika mereka tidak mempunyai kemahiran tinggi.

"Sukan ekstrem itu memang memerlukan ombak yang besar tetapi perlu pengalaman juga. Lebih selamat jika mereka meluncur (ombak) di Pantai Batu Burok kerana ada anggota pengawal pantai.

"Ia merupakan perkara menarik untuk dilihat tetapi menakutkan dalam keadaan sekarang ini," katanya sambil disokong isterinya, Halimah Abdullah, 46, ketika ditemui di pantai itu.

Segelintir pengunjung menyifatkan tindakan peluncur ombak itu seperti menempah maut.
Segelintir pengunjung menyifatkan tindakan peluncur ombak itu seperti menempah maut.

Sebelum ini, keseronokan dua pemuda mandi laut bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas ketika mandi di kawasan pantai peranginan itu pada 31 Mac tahun lalu.

Abdul Hadi Wahab, 24, disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Klinik Kesihatan Marang manakala rakan mangsa selamat selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, walaupun amaran Ribut Siklon Tropika Pabuk sudah ditamatkan namun orang ramai di daerah ini diminta sentiasa berwaspada bagi menggelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Peringatan dinyatakan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang, Kapten Zabri Abd Razak namun pihaknya tidak boleh menghalang jika ada pihak masih melakukan aktiviti air.

"Keadaan ombak musim tengkujuh dijangka berlaku sehingga Mac ini berbeza ketika ombak kuat di luar musim dan adalah wajar jika tidak melakukan sebarang aktiviti ketika ini," katanya.