Pahang digesa percepat kebenaran lombong bauksit

Md Sohaimi
Md Sohaimi
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang digesa mempercepat kebenaran aktiviti melombong bauksit di Felda Bukit Goh, Bukit Kuantan dan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) sebaik sahaja prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, gesaan itu dibuat kerana peneroka yang membuat pajakan tanah bagi aktiviti bauksit sudah lama tiada sumber kewangan akibat operasi terbabit dihentikan.

Sehubungan itu, kerajaan di negeri diminta memainkan peranan dan campur tangan bagi menggesa kerajaan Pusat supaya aktiviti perlombongan bauksit dapat dijalankan segera demi kelangsungan hidup peneroka.

"Sudah tiga empat tahun peneroka menderita sebab ladang sawit mereka tiada hasil... bauksit ditutup dan kehidupan sehari-hari mengharapkan ihsan sanak saudara.

"Jadi, kita rayu, seru kerajaan percepatkan proses operasi ini segera," katanya ketika menyampaikan perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh, Bukit Kuantan dan RTP dihentikan sejak Januari 2016 selepas kerajaan menguatkuasakan moratorium dan proses moratorium itu tamat pada 31 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Kuantan harap suasana perlombongan bauksit selamat

Dalam perbahasan itu, Md Sohaimi mahu kerajaan negeri memberi khidmat bantuan kepada tuan tanah agar tidak terus tertipu seperti sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebelum ini pemilik tanah hanya memperoleh keuntungan kira-kira 20 peratus dari hasil perlombongan bauksit manakala pengusaha mendapat 80 peratus.

"Ini sebab ada orang tengah..mereka banyak ambil kesempatan sehingga menyebabkan tuan tanah mendapat habuan tidak setimpal.

"Justeru, kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu dalam isu ini," katanya.