X

Kindly register in order to view this article
!

Setiausaha Politik Aminuddin buat laporan polis terhadap laman sosial

Mokhtar (tiga dari kiri) ditemani Faiz (dua dari kiri), Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Seremban, Husnul Hafiz Abu bakar (dua dari kanan) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Fakhrul Radzi Md Zin (kiri) membuat laporan polis di IPD Daerah Seremban jam 8 pagi tadi.
A
A

SEREMBAN - Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Mokhtar Ahmad membuat laporan polis terhadap laman sosial yang didakwa memanipulasi tajuk sebuah artikel berhubung kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban jam 8 pagi tadi yang turut disertai Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Faiz Abdullah.

Mokhtar berkata, laman sosial berkenaan didapati sengaja menciplak seratus peratus huraian asal dari laporan berita sebuah agensi tetapi mensensasikan tajuknya.

"Tajuk asalnya ialah 'MB Negeri Sembilan sifatkan ramalan Pas mampu tawan Negeri sebagai pak nujum' telah diubah kepada 'Usah bermimpi nak tawan Negeri Sembilan kerana PH terlalu kuat di sini kata MB kepada Pas'.

"Secara jelasnya ia berniat jahat kerana telah menimbulkan fitnah, tidak puas hati, menghasut dan mendapat populariti murahan dengan memperjudikan nilai murni dan adab," katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis.

Malah Mokhtar menyifatkan yang laman sosial sebegitu sebagai laman 'hingusan' dan perlu dibanteras agar tidak melarat.

Ini kerana katanya, paparan fitnah berkenaan telah dikomen dan dikongsi oleh ramai netizen dan ia telah menjejaskan imej menteri besar yang langsung tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti tajuk yang ditulis.

Katanya, sehubungan itu Pejabat Menteri Besar tidak sesekali berkompromi dengan sebarang gejala dan kenyataan songsang yang sengaja ditujukan kepada menteri besar dengan niat mengaibkan dan menjatuhkan wibawa dan kredibilitinya sebagai pemimpin.

"Ada batas dan hadnya untuk berbicara. Sebab itu kita membuat laporan polis bagi meminta siasatan dan dilakukan termasuk oleh pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).

"Pihak kami tidak akan teragak-agak untuk merujuk perkara ini kepada tindakan perundangan jika penyebaran kenyataan ini masih dilakukan dan tertera di laman sosial berkenaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus