'Mak bawa baju paling cantik nak pakai masa saya konvo'

Rahayu (kanan) tidak sempat meraikan majlis konvokesyen anaknya, Muhammad Fahim yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Maritim) setelah meninggal dunia sehari sebelum majlis berlangsung.
Rahayu (kanan) tidak sempat meraikan majlis konvokesyen anaknya, Muhammad Fahim yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Maritim) setelah meninggal dunia sehari sebelum majlis berlangsung.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Rupanya mak bawa baju paling cantik nak pakai waktu saya konvo... sayangnya tak sempat", luah graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Fahim Samsuddin, 23.

Rahayu Abu, 50, meninggal dunia sehari sebelum menghadiri majlis konvokesyen anak keduanya itu.

Allahyarham Rahayu mengalami demam selama tiga hari, batuk dan muntah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 12.30 malam Sabtu lalu.

Muhammad Fahim berkata, dia menemui baju itu ketika mengemas beg Allahyarham ibunya selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Bohor Baru, Bera, Pahang pada jam 1 tengah hari Ahad lalu.

"Masa tengah mengemas baju-baju yang mak bawa ke Terengganu, saya ternampak sepasang baju kurung yang cantik. Saya terus pegang baju itu, saya rasa sebak tak mampu tahan air mata.

"Saya tak pernah nampak mak pakai baju itu sebelum ini, memang mak berhasrat nak pakai waktu hadiri majlis konvokesyen saya yang dijadualkan Ahad lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Muhammad Fahim menunjukkan baju Allahyarham ibunya yang dibawa untuk dipakai ketika Majlis Konvokesyen UMT ke-17 yang dijadualkan Ahad lalu.
Muhammad Fahim menunjukkan baju Allahyarham ibunya yang dibawa untuk dipakai ketika Majlis Konvokesyen UMT ke-17 yang dijadualkan Ahad lalu.

Muhammad Fahim berkata, Allahyarham ibunya disahkan meninggal dunia akibat komplikasi penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, doktor yang merawat turut memberitahu Allahyarham ibunya mengalami bengkak di bahagian otak dan hanya bergantung pada mesin pernafasan ketika dirawat.

Mengimbau kembali saat terakhir bersama Allahyarham ibunya, Muhammad Fahim berkata, Allahyarham ibunya nampak agak teruja untuk menghadiri majlis konvokesyen itu walaupun waktu itu keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

"Walaupun mak demam ketika bertolak ke Terengganu dari Pahang Jumaat lalu, dia nampak begitu teruja.

"Mak yang cadangkan supaya bertolak pada pagi Jumaat ke sini dan kami sampai ke Terengganu dah agak lewat petang," katanya.

Muhammad Fahim berkata, setibanya ke Terengganu dia dan bapanya, Shamsuddin Md Amin, 58, terus membawa Allahyarham ibunya ke bahagian kecemasan di HSNZ disebabkan ibunya nampak tidak bermaya dalam perjalanan.

Bagaimanapun, katanya, Allahyarham ibunya mengajak pulang memandangkan waktu itu ramai pesakit.

"Waktu tu kami sempat mendaftar sahaja, tak sempat terima rawatan sebab mak nampak tak selesa menunggu dan mengajak kami balik kerana hari sudah malam.

"Kami hanya ke klinik swasta untuk membeli ubat namun selepas itu tahap kesihatan mak semakin teruk ketika berada di rumah bapa saudara di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus.

"Ketika itu mak mengalami sesak nafas. Jadi kami ambil keputusan untuk bawanya ke hospital sekali lagi namun semasa dalam perjalanan ke hospital, mak sudah tidak sedarkan diri," katanya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) itu berkata, dia masih bersedih dan terkilan namun pasrah dengan takdir yang ditentukan ALLAH SWT.

"Hati mana yang tidak sedih apabila orang disayangi meninggal dunia pada hari bersejarah namun saya pasrah dan menerima ketentuan Ilahi.

"Walaupun mak telah pergi, saya masih mampu tersenyum sekurang-kurangnya mak sempat lihat gambar saya dan bapa mencuba jubah konvo yang saya ambil sehari sebelum majlis itu berlangsung," katanya.

Muhammad Fahim berkata, adiknya, Muhammad Ilham,17, turut terkilan kerana kehilangan ibunya di saat sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini.

"Pesan pada adik, buat yang terbaik demi mak dan ayah. Biarlah mak sudah tiada, niatkan yang terbaik.

"Mak juga pernah pesan jangan lupakan dia dalam doa setiap kali solat. Pesanan itu saya tak akan lupakan sampai bila-bila," katanya.