Trump kecewa dengan Netanyahu

Trump sifatkan Netanyahu orang kalah selepas tewas dalam pilihan raya April lalu. - Foto: AFP
Trump sifatkan Netanyahu orang kalah selepas tewas dalam pilihan raya April lalu. - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa kecewa dan hampa dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Israel secara umumnya.

Kenyataan itu dikeluarkan sumber Rumah Putih kepada laman berita Tel Aviv, Ynet News.

"US kecewa dengan politik Israel dan krisis politik semasa yang menghalang Rumah Putih daripada mendedahkan bahagian perjanjian politik abad ini," kata sumber merujuk kepada pentadbiran Trump untuk pelan damai Timur Tengah.

Sumber turut memberitahu, pemimpin Washington itu yang mempunyai impian untuk mengakhiri konflik antara dua negara terbabit turut secara terbuka bercakap tentang kekecewaannya terhadap Netanyahu.

"Presiden tidak suka orang kalah," katanya mengulas mengenai kekalahan Netanyahu dalam Pilihan Raya Israel pada 9 April lalu.

Sementara itu, bekas Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson dalam satu majlis di Universiti Harvard mendedahkan, Netanyahu pernah mempermainkan Trump dengan memberikan maklumat palsu beberapa kali.

"Dalam berurusan dan berunding dengan PM Israel itu, tidak salah jika kita meragui beliau. Sukar untuk saya percaya sekutu yang rapat dengan kami boleh berbuat begitu," katanya.

Sejak bergelar Presiden, Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan mengiktiraf kedaulatan Israel di Bukit Golan. - Agensi

Artikel Berkaitan: