X

Kindly register in order to view this article
!

'Perasaan sama seperti BN hadapi masa PRU lalu'

Mukhriz Mahathir
A
A

SUNGAI PETANI - Situasi dan perasaan dihadapi Pakatan Harapan (PH) pada kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai diibaratkan sama seperti yang dirasai Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, penting bagi PH untuk membuat kajian menyeluruh dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat.

Menurutnya, keputusan itu menunjukkan mesej jelas disampaikan rakyat Tanjung Piai bahawa ada banyak perkara menimbulkan rasa tak puas hati terhadap PH.

"Memang kita rasa kesal, kecewa dan terkejut dengan keputusan tersebut apabila kehilangan kerusi Parlimen Tanjung Piai.

"Saya rasa sama juga perasaan rakan-rakan di BN apabila mereka tewas pada PRU lalu, di mana mereka hilang banyak negeri serta persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Komuniti McDonald's peringkat negeri Kedah 2019 di McDonald's Pandu Lalu Amanjaya Sungai Petani hari ini.

Mukhriz ketika melancarkan Program Komuniti McDonald's peringkat negeri Kedah 2019 di Mc Donald's Pandu Lalu Amanjaya Sungai Petani hari ini.
Mukhriz ketika melancarkan Program Komuniti McDonald's peringkat negeri Kedah 2019 di Mc Donald's Pandu Lalu Amanjaya Sungai Petani hari ini.

Mukhriz berkata, PH tidak sama sekali menyalahkan rakyat dengan keputusan yang dibuat biarpun tidak memihak kepada kerajaan.

Dalam pada itu, katanya, cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen tidak masuk akal untuk dilaksanakan.

“Kerajaan terdahulu sebelum ini iaitu pada penggal ke-12 dan 13 pun penggalnya cukup-cukup lima tahun.

“Jadi apa sebabnya bila PH baru pertama kali membentuk kerajaan tiba-tiba hendak dipendekkan kepada setahun setengah untuk dibubarkan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!